Expired : 18.06.18

‘Jual kepentingan, labur semula modal urus niaga biasa’

KUALA LUMPUR, 10 Safar 1441h, Rabu – Transaksi yang sedang dilakukan oleh Khazanah Nasional Bhd adalah satu urus niaga biasa yang membabitkan penjualan pelaburan dan kemudian melabur semula modal untuk pelaburan baharu, kata Pengarah Urusan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.


Hasil daripada penjualan kepentingan itu digunakan untuk membayar hutang Khazanah dan membiayai pelaburan baharu, katanya.


Menyangkal dakwaan bahawa dana pelaburan negara itu menjual aset negara dan terus mengumpul hutang, Shahril Ridza berkata, tumpuannya untuk jangka masa terdekat adalah melaksanakan keutamaan strategiknya seperti dipersetujui oleh lembaga pengarah.


Berhubung kritikan bahawa penjualan oleh Khazanah tidak kena pada masanya berikutan nilai aset masih belum direalisasikan, beliau menegaskan keputusan sama ada untuk menjual kepentingan atau tidak dibuat selepas sasaran pelaburannya dipenuhi.


“Ia sentiasa dibuat berdasarkan asas komersial. Ini bermakna kami akan pertimbangkan sama ada lebih baik untuk pegang aset dengan jangkaan mendapat dividen di masa depan dan meningkatkan nilainya atau jual dan menggunakan hasilnya untuk membuat pelaburan baharu,” kata Shahril Ridza dalam e-mel bagi menjawab soalan daripada Bernama.


Wujud kebimbangan sejak diumumkan bahawa modal daripada penjualan aset itu akan digunakan untuk mengurangkan hutang negara, dan pembelinya mungkin menggunakan peluang itu untuk menawarkan harga lebih rendah.


Sebagai dana pelaburan negara Malaysia, Shahril Ridza berkata, objektif utama Khazanah untuk melabur bagi tujuan menjana pulangan kewangan untuk jangka panjang.


“Susulan itu, semua peluang untuk penjualan kepentingan dinilai mengikut setiap kes dan dibandingkan dengan sasaran kewangan dan strategik kami dan akan bergantung pada waktunya dan kekuatan pasaran dan juga adanya pembeli yang berkualiti dan berwibawa.


“Khazanah akan menimbangkan setiap cadangan berwibawa untuk mengambil alih aset kami daripada semua pihak yang berminat selagi tawaran itu memenuhi objektif pelaburan kami dan transaksi dilaksanakan mengikut amalan terbaik berasaskan pasaran untuk memastikan ketelusan sepenuhnya bagi semua pihak,” katanya.


Pada 2019, Khazanah memulakan proses mengseimbangkan semula Dana Komersialnya – dana yang memberi tumpuan untuk mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatannya – dijangka transaksi itu selesai dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun dan mencapai sasaran portfolio seimbang.


Dari segi penjualan kepentingan, tahun ini Khazanah telah melakukan jualan pada jumlah kira-kira RM15.9 bilion, kebanyakannya daripada pengurangan separuh kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd (RM8 bilion), Alibaba Holdings Ltd (RM2 billon) dan Tenaga Nasional Bhd (RM1 bilion) dan penjualan seluruh kepentingannya dalam BDO Unibank (RM1.5 bilion) dan Farfetch.com Ltd (anggaran RM771 juta).


Bagi pelaburan, Khazanah telah memeterai komitmen dengan dana pelaburan luar pada jumlah kira-kira AS$200 juta (RM840 juta).


Selain itu, ia turut membiayai aset sedia ada dan komitmen pelaburan sebelumnya.


Pada 31 Disember, 2018, nilai aset yang direalisasikan dalam portfolio pelaburan Khazanah adalah RM136 bilion.


Untuk masa depan, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan menjalankan peranannya sebagai dana pelaburan Malaysia dengan menguruskan dua dana – Dana Komersial dan Dana Strategik – dengan objektif spesifik.


Seperti diumumkan dalam Kajian Tahunan Khazanah 2019, dalam waktu terdekat Khazanah akan fokus untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, mengseimbangkan semula dana komersial, memastikan daya maju jangka panjang aset strategik, meningkatkan struktur dan rangka kerja tadbir urus, dan menstruktur semula organisasi dan meningkatkan keupayaan.


Semalam dilaporkan Khazanah menyasarkan keuntungan RM5.0 bilion pada tahun ini dan seterusnya mengurangkan hutang kepada RM40 bilion dalam jangka sederhana.


Dana pelaburan negara itu berjaya mengurangkan hutangnya daripada RM55 bilion kepada RM47 bilion dalam tempoh setahun menerusi penjualan aset dan pelaburan. Dalam tempoh 10 tahun lepas, Khazanah telah menjual lebih 100 aset bernilai kira-kira RM65 bilion. – Bernama


The post ‘Jual kepentingan, labur semula modal urus niaga biasa’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop