Expired : 18.06.18

Jual MyKad: Penolong Pengarah JPN P.Pinang didakwa esok

SEORANG penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen di George Town esok berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga China di negeri itu.


Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karem mengesahkan perkara itu, lapor Bernama hari ini.


Sementara itu, sumber memaklumkan lelaki berusia 40-an itu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah esok.


Penolong pengarah itu dikatakan bersekongkol dengan seorang ‘runner’ lelaki warga tempatan bagi mendapatkan Mykad tulen itu namun kegiatan tersebut terbongkar selepas status warga asing yang mempunyai Mykad tulen berkenaan berjaya dikesan Jabatan Imigresen negeri.


Laporan NMP hari ini memetik sumber yang mendedahkan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China yang turut didalangi pegawai kerajaan berpangkat tinggi di Pulau Pinang baru-baru ini.


Kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita warga China datang ke pejabat Imigresen untuk membuat pasport dengan mengemukakan MyKad, namun sangat mencurigakan apabila dia tidak dapat berkomunikasi kerana tidak mampu langsung berbahasa Melayu.


Susulan itu, satu operasi khas dijalankan yang membawa kepada penahanan beberapa individu termasuk pegawai tinggi sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang di bawah SOSMA.


Sindiket itu dipercayai berjaya menjual sejumlah dokumen berkenaan yang dipercayai bernilai lebih RM350,000.


The post Jual MyKad: Penolong Pengarah JPN P.Pinang didakwa esok appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop