Expired : 18.06.18

Jual PLUS: PH Semakin Keterlaluan, Rakus Gadai Negara – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjual Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) adalah melampau dan keterlaluan kerana akan menggadaikan negara secara keseluruhan, bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.


Tegasnya, retorik politik Tun Dr. Mahathir yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menggadaikan negara kepada syarikat asing kini terbukti fitnah dan pada hari ini kerajaan PH di bawah pimpinannya menjadi faktor utama yang membawa kepada kegagalan ekonomi negara.


“Kerajaan PH dilihat semakin rakus menjual aset strategik kerajaan kepada syarikat asing. Sejak memerintah, hampir RM30 bilion aset negara yang selama ini dikumpul telah dijual oleh kerajaan PH.


“Tindakan menjual PLUS adalah melampau dan membuktikan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir gagal sepenuhnya dalam menjaga kepentingan negara. PLUS adalah milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan aset strategik ini seharusnya dikekalkan sebagai hak milik negara.


“Bagaimanakah nasib kakitangan dan peniaga vendor jika PLUS telah dijual kepada syarikat asing? Sudah tentu akan berlakunya pengubahsuaian dalam organisasi seperti pengurangan pekerja dan perubahan polisi yang memihak syarikat asing,” katanya dalam satu kenyataan.


Dr. Najmil memberi reaksi demikian berhubung kesediaan kerajaan PH untuk menjual PLUS kepada firma Hong Kong, RRJ Capital dengan tawaran bernilai RM3.5 bilion untuk membeli 100 peratus kepentingan PLUS.


Mengulas lanjut, Dr. Najmil berkata sebelum ini aset milik Khazanah sudahpun dijual kerajaan PH seperti IHH Berhad kepada Jepun pada November 2018 pada nilai RM8.41 bilion.


“Selain itu, Khazanah juga telah menjual keseluruhan 55 peratus pegangan saham dalam lebuh raya tol Jakarta dengan RM2.1 bilion pada September 2019.


“Kini PLUS pula hendak dijual kepada syarikat asing dan akan merugikan Khazanah kerana tidak memiliki apa-apa aset strategik untuk kepentingan ekonomi negara.


“Jika PLUS dijual, Khanazah akan gagal menjalankan fungsinya sebagai syarikat induk dalam pelaburan kerajaan Malaysia,” tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi.


Seterusnya ujar Dr. Najmil, kebolehan Tun Dr. Mahathir dalam mentadbir negara semakin diragui kerana tiada sebarang pembangunan ekonomi dilakukan sejak memerintah dan hanya mahir dalam menjual aset strategik negara.


“Kerakusan kerajaan PH menjual aset negara akan menyebabkan kita kehilangan seluruh harta dan aset strategik yang selama ini menjadi simbol kekuatan ekonomi negara yang telah lama dibina oleh kerajaan BN.


“Rakyat Malaysia akan diibaratkan menumpang di bumi sendiri apabila seluruh harta tergadai kepada syarikat asing,” katanya.


Justeru tegasnya sekali lagi, Pemuda UMNO akan terus mendesak agar kerajaan PH tidak menjual PLUS kepada syarikat asing kerana ianya adalah pemilikan rakyat Malaysia dan Khazanah harus menjadi entiti tunggal yang mengawalnya. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop