Expired : 18.06.18

Jurang pendapatan melebar kepada RM10,000 pada 2016

KUALA LUMPUR, 6 Safar 1441H, Sabtu – Jurang pendapatan antara isi rumah kumpulan 20 peratus teratas dengan kumpulan 40 peratus terbawah semakin melebar dari RM2,000 pada 1990 kepada lebih RM10,000 pada 2016, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau berkata, struktur ekonomi sejak dua dekad lalu telah mengembangkan jurang itu dalam kalangan rakyat, sama ada daripada kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.


Perdana menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) berjudul “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”, iaitu kerangka hala tuju negara bagi tempoh 2021 sehingga 2030, di sini, hari ini.


“Jurang antara etnik sama ada etnik Bumiputera kepada etnik Cina, mahupun etnik India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga 4 kali ganda sepanjang 27 tahun lalu.


“Perbezaan jurang etnik juga kelihatan dalam bidang pekerjaan, nilai tambah perniagaan mahupun jumlah penguasaan kekayaan korporat antara Bumiputera dan bukan Bumiputera,” kata Dr Mahathir.


Dalam pada itu, beliau berkata, jurang pengagihan ekonomi antara wilayah juga turut berkembang, yang mana 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tertumpu di Wilayah Kuala Lumpur.


“Jurang pendapatan penengah di Wilayah ini terjumlah lebih RM10,500 berbanding pendapatan penengah di luar Kuala Lumpur hampir separuh darinya.


“Jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dan jurang antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara,” kata beliau.


Sementara itu, Dr Mahathir berkata, dalam konteks jurang rantaian bekalan, kes-kes monopoli dan pencatutan semakin bertambah dengan sebahagian pihak mengawal rantaian bekalan.


Ini menyebabkan kurangnya penyertaan kumpulan lain khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), katanya.


“Masalah ini berlaku dari kumpulan petani dan nelayan kecil sehingga kepada perusahaan-perusahaan besar,” katanya. -Bernama


The post Jurang pendapatan melebar kepada RM10,000 pada 2016 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop