Expired : 18.06.18

Juventus, Bayern, PSG mara

DOUGLAS Costa meledak gol kemenangan dramatik masa kecederaan untuk membantu Juventus layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas menang 2-1 di Lokomotiv Moscow awal pagi tadi, manakala Paris Saint-Germain dan Bayern Munich menyertai juara Itali itu ke pusingan 16 terakhir.


Gol babak pertama Mauro Icardi cukup buat PSG untuk mengatasi Club Brugge 1-0 di Parc des Princes manakala Bayern menang 2-0 ke atas Olympiakos.


Manchester City terlepas peluang layak dari Kumpulan C selepas seri 1-1 di Atalanta yang menyaksikan pertahanan kanan Kyle Walker menjadi penjaga gol pada hujung perlawanan.


Juventus sedar tiga mata di Russia mencukupi buat mereka melayakkan diri ke pusingan kalah mati dan mendahului menerusi Aaron Ramsey selepas empat minit.


RAMSEY (tengah) merembat masuk gol pembukaan Juventus. — FOTO Reuters



Sepakan percuma Cristiano Ronaldo melantun di depan penjaga gol Lokomotiv, Guilherme, yang secara tidak sengaja membenarkan bola melepasi kelangkangnya dan Ramsey merembat masuk dari jarak dekat.


Aleksei Miranchuk pantas menyamakan kedudukan buat tuan rumah apabila menampan masuk bola muntah selepas tandukannya sendiri terkena palang dengan Juve kendalian Maurizio Sarri bergelut untuk memecah benteng tuan rumah.


Namun pemain sayap Brazil, Costa hadir dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol menakjubkan pada minit ke-93, menyepak bola melepasi celah kaki Guilherme selepas satu larian pantas.


PSG layak ke pusingan 16 terakhir buat musim kelapan berturut-turut, namun persembahan gemuruh menentang Brugge tidak memberi rangsangan buat juara Perancis itu layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1995.


ICARDI meledak gol kemenangan PSG di Paris. — FOTO AFP



Icardi membantu anak buah Thomas Tuchel mendahului pada pertengahan babak pertama dengan gol kelapannya sejak menyertai kelab itu secara pinjaman dari Inter Milan.


Namun kelab Belgium, Brugge patut meraih gol penyamaan lewat aksi tetapi kecewa apabila sepakan penalti Mbaye Diagne diselamatkan penjaga gol PSG, Keylor Navas.


Bayern yang hadir tanpa pengurus terdahulu muncul pasukan pertama memastikan tempat, ketika gol lewat Robert Lewandowski dan Ivan Perisic menamatkan cabaran Olympiakos di Arena Allianz.


Bayern mendahului Tottenham di puncak Kumpulan B dengan lima mata selepa naib juara musim lalu itu membelasah Red Star Belgrade 4-0 di Serbia.


Norlida Ishak Shop