Expired : 18.06.18

Kabinet tangguh program subsidi petrol

Kabinet hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2020.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.


“Hal ini bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.


“(Ia juga bagi) proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh kementerian kewangan.


“Sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada,” katanya.


Putrajaya pada 7 Oktober lalu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan.


Ia selaras manifesto Pakatan Harapan dengan jumlah penerima akan manfaatkan lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.


Mereka yang layak akan menerima subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.


Ia disalurkan menerusi pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.


Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.