Expired : 18.06.18

Kaji semula waktu operasi 24 jam dobi

KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1449H, Khamis – Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan agar waktu perkhidmatan kedai dobi layan diri terutama yang beroperasi 24 jam dikaji semula.


Beliau berkata, ia bagi mengurangkan risiko kejadian samun berulang di premis itu.


“Ramai pelanggan terutama wanita menggunakan perkhidmatan itu selepas waktu kerja termasuk selepas jam 12 tengah malam agar tidak perlu berebut dengan orang lain.


“Namun tindakan itu meningkatkan peluang penjenayah melakukan jenayah samun ketika tahap keselamatan berada di paras longgar lebih-lebih lagi dalam keadaan mangsa bersendirian tanpa teman,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.


Pada masa sama, Lam Thye turut mencadangkan agar semua pengusaha perniagaan itu berbincang dengan pihak polis untuk mengetahui langkah terbaik mencegah kejadian samun dan juga membuat rondaan lebih kerap.


“Bagi mereka yang sering mengunjungi pusat dobi layan diri pada waktu malam pula, elak daripada bersendirian dengan membawa teman. Pergi ke tempat lain untuk menghabiskan waktu ketika menunggu pakaian dicuci,” katanya.


Kelmarin, seorang wanita berdepan detik cemas, apabila disamun dua remaja, termasuk seorang daripadanya bersenjatakan parang.


Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah kedai dobi layan diri di bandar Puteri Jaya, Kedah.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri, namun gagal sebelum muncul seorang lagi suspek, yang mengambil beg tangan mangsa.


Polis masih memburu kedua-dua suspek berdasarkan wajah mereka yang dirakam CCTV di kedua-dua premis terbabit.



The post Kaji semula waktu operasi 24 jam dobi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop