Expired : 18.06.18

‘Kalau saya cikgu zaman sekarang, saya masuk lokap tiap minggu’

INSIDEN seorang guru merotan pelajar perempuannya yang tular di media sosial beberapa hari lalu mungkin mempunyai hikmah tersendiri.


Setidak-tidaknya, ia membuka mata banyak pihak mengenai ‘keganjilan’ yang berlaku dalam lingkungan sistem pembelajaran di sekolah – atau – ia mengajak masyarakat kembali merenung pentingnya hubungan antara guru dan pelajar.


Sejak insiden berkenaan, satu persatu kisah hubungan akrab guru dan pelajar dipertontonkan kepada masyarakat walaupun watak sang pendidik yang ditonjolkan tebal dengan sikap tegas, garang dan bengis.



Terpanggil dengan kes tersebut, seorang bekas guru disiplin atas nama Osman Marcom meluahkan perkongsian yang ternyata menyentuh perasaan netizen termasuk bekas anak-anak muridnya.


“Jika saya adalah guru disiplin di zaman ini, sayalah guru yang akan setiap minggu keluar masuk lokap dan turun naik mahkamah.


“Atau lebih buruk saya mungkin sudah merengkok dalam penjara dan hilang pekerjaan,” katanya penuh sinis dalam satu hantaran di Facebook.


Menurut Osman, dia percaya di benak hati setiap guru tidak lain tidak bukan mahu melihat pelajar mereka berjaya, bukan sahaja dalam akademik, tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik menuju alam dewasa kelak.


“Alhamdulillah semua bekas anak murid saya yang pernah merasai air tangan (rotan) kini telah berjaya dan menjadi manusia berguna.


“Terima kasih para ibu bapa kerana tidak pernah mahu menyaman saya walaupun pernah tindakan saya merotan menyebabkan kecederaan di punggung anak murid saya,” katanya mengimbas pengalaman sebagai guru disiplin.


Osman turut menceritakan pengalamannya pernah dicabar seorang murid yang ponteng untuk menangkapnya sehiangga dia terpaksa berlari mengelilingi bangunan sekolah.


“Hampir saja cikgu yang meninggal dunia (keletihan).Terima kasih semua anak murid cikgu yang tidak pernah lupa pada cikgu. Anda semua adalah warna-warni kehidupan cikgu. Kenakalan adalah kebijaksanaan,” ujarnya.


Osman yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Akademik di Sekolah Henry Gurney Teluk Mas, Melaka turut berkongsi pengalamannya mengajar pelajarnya mengenai ‘kemanisan’ rotan.


Menariknya, perkongsiannya itu turut ‘menemukan’ Osman dengan bekas pelajarnya yang rata-rata berterima kasih kerana kegarangannya sewaktu di zaman sekolah mereka.



The post ‘Kalau saya cikgu zaman sekarang, saya masuk lokap tiap minggu’ appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop