Expired : 18.06.18

“Kalau Tinggalkan Dia, Dia Akan Lagi ‘Hancur’,” – Isteri Kongsi Kisah Suami Pernah Terlibat Penyalahgunaan Dadah, Ezad Akui Buat Taubat Nasuha


“Suprise!” Itu reaksi awal isteri kepada penyanyi Ezad Lazim, Nor Azeana apabila ditanya  mengenai apakah penerimaannya apabila mengetahui suami terlibat dalam menyalahgunaan najis dadah.


Berkongsi rasa menerusi program Mingguan Wanita baru-baru ini, Azeana bagaimanapun memberi peluang buat si suami untuk berubah seterusnya memberi sokongan buatnya untuk terus bangkit.



“Saya kenal dengan suami tidak lama. Maksudnya kenal bulan 1 dan bulan 3 sudah pun bernikah jadi suami isteri. Jadi sebelum dia ditangkap, saya tengok dirinya berperangai agak pelik.


“Apabila suami tertangkap, saya ada alami keguguran dan sepatutnya dia temani saya untuk ke klinik akan tetapi dia memilih untuk bertemu dengan kawannya untuk ‘itu’ sahaja dan bila kena tangkap, saya okay…fine,” katanya yang akui tidak menangis apabila mengetahui perkara berkenaan.


Baginya, apa yang terjadi boleh dijadikan pengajaran dan caranya untuk berubah.


Pada masa sama, Ezad yang turut diundang sebagai panel mendedahkan, dia terlibat dengan najis dadah pada usia muda.


“Saya terjebak ketika usia yang awal, 20…25 macam tulah. Antara faktor utama ialah pengaruh kawan-kawan serta kekuatan diri, agama dan iman. Saya tinggal di Kuala Lumpur seorang diri sejurus SPM sehinggalah saya kahwin.


“Saya pun nak hidup sendiri dan nak cuba perkara yang baru. Mulanya macam nak main-main tetapi lama kelamaan ia jadi macam satu ketagihan. Duit yang ada habis dilaburkan. Jadi dari situ adalah suatu yang tak baik,” jelasnya jujur.



Sementara itu, Azeana pula turut menjelaskan sebab dirinya ambil keputusan untuk terus bersama meski mengetahui isu berat yang menimpa suaminya pada masa itu.


“Bagi saya, kalau saya tinggalkan dia, dia akan lagi ‘hancur’ sebenarnya. Dia perlukan sokongan. Misalnya ketika dia ‘ke dalam’ tiga hari, anak saya ketika itu berusia setahun lebih dan beberapa hari tidak tidur.


“Kemudian saya ada bawanya ke balai untuk melawat dan anak saya terus tidur di pangkuan bapanya yang dalam keadaan bergari.


“Bila tengok keadaan anak ketika itulah, saya rasa dia perlukan sokongan,” katanya yang turut memberikan kata semangat buat Ezad ketika berada di mahkamah.


“Dari situ saya ada beritahunya, kalau betul-betul nak berubah saya akan bagi peluang tetapi hidup cara saya atau pilih kawan-kawan you,” tegasnya.



Ezad juga sempat memberikan pesanan serta berkongsi andai ada yang hanya mahu tahu berseronok, tetapi tidak berfikir mengenai kesan mendatang.


“Banyak perkara negatif kalau terjebak dengan dadah, tak ada satu pun perkara yang baik. Untuk jadi positif, saya cuba dekatkan diri dengan Allah SWT, saya pergi umrah untuk minta doa dan lakukan taubat Nasuha.


“Memang ia ada lalui fasa yang menyakitkan. Bagi saya masa inilah ujian untuk saya. Kalau nak berubah kena bersabar. Alhamdulillah sudah dekat lima tahun lebih.


“Sebelum ni saya agak takut untuk kongsi sebab sampai mati pun kita tak tahu. Ada yang pernah insaf tetapi terjebak balik pun ada,” baginya yang sudah tekad dan berjanji dengan diri untuk tidak mahu lagi terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah.


Turut sama di undang menerusi diskusi ‘Tak Tinggalkan Suami, Biarpun Terjebak Dadah ialah Komisioner Polis, Datuk Seri Zulkifli Abddulah, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan.



Foto: YouTube Mingguan Wanita


Norlida Ishak Shop