Expired : 18.06.18

Kami tak kenakan fi RM3 di klia2, kata Malaysia Airports


KUALA LUMPUR, 26 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan bahawa mereka tidak pernah mengenakan ‘Fi Klia’ sebanyak RM3, yang kutipannya akan dihentikan oleh AirAsia.


Ini susulan pengumuman syarikat penerbangan tambang rendah itu awal minggu ini bahawa ia akan mengeluarkan ‘fi klia2’ yang dikutipnya sebagai sebahagian daripada harga tiket, sejak 9 Mei 2014.


“Fi klia2 itu dikenakan dan dikutip semata-mata oleh AirAsia sejak terminal klia2 memulakan operasi pada 2014.


“Caj yang dikenakan ke atas penumpang dan dikutip oleh Malaysia Airports hanyalah caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM11 bagi pelepasan domestik, RM35 untuk pelepasan antarabangsa ke negara ASEAN dan RM73 untuk pelepasan antarabangsa selain negara Asean,” kata MAHB dalam kenyataan sebagai menjawab ‘pertanyaan media’.


Pengendali lapangan terbang itu mengeluarkan kenyataan yang sama mengenai fi RM3, yang tidak ada kaitan dengannya, ketika AirAsia mula mengenakan levi RM3 itu pada 2014.


Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam sesi langsung di Facebooknya bersama orang ramai berkata, syarikat penebangan itu akan berhenti mengutip fi RM3 mulai minggu depan.


Pada permulaan sesi itu, beliau dilaporkan berkata, bahawa klia2 tidak memenuhi objektif syarikat penerbangan itu bagi perjalanan udara, yang sebahagian besarnya untuk kos rendah bagi menawarkan tambang yang lebih rendah.


“Kami akan hentikan fi klia2 minggu depan, anda orang pertama yang mengetahuinya. Tiada lagi fi klia2,” kata Fernandes.


MAHB baru-baru ini menyaman AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd kerana enggan mengutip PSC tambahan sebanyak RM23 bagi setiap penumpang di klia2.


MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang di Istanbul, Turki. – Bernama


The post Kami tak kenakan fi RM3 di klia2, kata Malaysia Airports appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop