Expired : 18.06.18

Kanser penyebab kedua tertinggi kematian di Malaysia














BANGI, 29 Jamadilawal 1440H, Isnin – Kanser adalah penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia, yang dianggarkan 60 peratus daripadanya dikesan pada tahap lewat iaitu peringkat ketiga dan keempat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, di antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu adalah berikutan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan serta pengesanan awal.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM seluruh negara.

Manakala katanya, saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital KKM.

“Tiga jenis kanser yang tertinggi di kalangan lelaki di Malaysia adalah kolorektal (16.4 peratus), paru-paru (15.8 peratus) dan nasopharynx (8.1 peratus); manakala di kalangan wanita adalah payudara (32.1 peratus), kolorektal (10.7 peratus) dan serviks (7.7 peratus).

“Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia.” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia 2019, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan dilaksanakan Mac tahun ini, turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Manakala Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam telah diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser.

“Kerajaan telah memperkenalkan kedua-dua skim ini untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan bebanan kos rawatan dan meningkatkan kualiti hidup Kumpulan B40,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan serta mengenali tanda awal kanser.

“Kita juga perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal, dan percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan,” katanya.










 




 








 

 






The post Kanser penyebab kedua tertinggi kematian di Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop