Expired : 18.06.18

Kashmir ‘lumpuh’ kerana India


SRINAGAR, 7 Muharram 1441H, Sabtu – Sekatan ketenteraan dan komunikasi yang dikenakan kerajaan India berikutan pembatalan autonomi ke atas Jammu dan Kashmir bulan lalu, telah melumpuhkan kehidupan penduduk di rantau majoriti muslim itu.


Pengepungan yang tidak pernah berlaku sebelum ini – yang memasuki bulan kedua – telah menjejaskan ramai pesakit yang memerlukan perhatian perubatan segera dan kemudahan rawatan lebih baik.


 “Kami tidak boleh pergi ke mana-mana buat masa ini, anak saya memerlukan penjagaan perubatan yang tidak terdapat di Tangdar, jadi kami merancang untuk tinggal di hospital sehingga keadaan bertambah baik,” kata seorang bapa pesakit, Mohamad Shafi kepada Al Jazeera.


Selama dua minggu lalu, Shafi berada di sebelah tempat tidur anaknya, Rafi, 13, yang telah dimasukkan ke wad nefrologi di sebuah hospital yang dikendalikan oleh kerajaan di Kashmir.


Shafi sudah letih dan tidak cukup tidur, tetapi bapa berusia 54 tahun itu bersedia untuk tinggal di hospital Institut Sains Perubatan Sher-i-Kashmir (SKIMS) selagi dia diperlukan.


Anaknya menderita penyakit ginjal kronik dan memerlukan dialisis setiap 15 hari, satu prosedur perubatan yang tidak boleh dilakukan di kampungnya di kawasan Tangdar di Kupwara, sebuah daerah sempadan kira-kira 100 kilometer barat laut Srinagar.


Bercerita kisah ketika membawa anaknya ke hospital baru-baru ini, Shafi berkata, dalam perjalanan dia disekat di beberapa pusat pemeriksaan keselamatan yang ditubuhkan oleh pasukan keselamatan India di sepanjang jalan.


“Kami sepatutnya mendapatkan dialisis pada 15 Ogos, tetapi tidak dapat melakukannya. Oleh kerana sekatan, semuanya ditutup dan kami takut keluar.


“Tetapi apabila dia jatuh sakit, kami memohon dengan seorang jiran yang memiliki kenderaan untuk membawa kami ke sini,” katanya.


Shafi berkata, rawatan dialisis anaknya berharga 2,800 rupee (RM163.30) untuk setiap kali rawatan. Walaupun hospital yang dikendalikan kerajaan merawat pesakit pada harga bersubsidi, ia tidak menyediakan ubat yang diperlukan untuk prosedur ini.


Pesakit perlu membeli ubat yang diperlukan untuk dialisis dari luar hospital. Di tengah-tengah sekatan kerajaan India, ubat ini tidak selalu tersedia di farmasi berhampiran.


Sementara itu, seorang kakitangan perubatan di hospital SKIMS, yang tidak mahu dikenali, memberitahu Al Jazeera bahawa ramai pesakit di hospital telah kehabisan wang untuk membeli ubat bagi penyakit kritikal.


“Kami tidak menyediakan mereka ubat-ubatan, mereka perlu membelinya dari kedai-kedai runcit di luar hospital dan kebanyakan mereka datang dari kawasan yang jauh,” katanya.


Minggu lalu, katanya, seorang pesakit tidak mempunyai sebarang wang dan terpaksa dibantu oleh pesakit lain dan petugas mereka di wad nefrologi, yang mengumpulkan sumbangan. – Agensi


The post Kashmir ‘lumpuh’ kerana India appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop