Expired : 18.06.18

Kasih anak tak dikandung

MEREKA tiada pertalian darah, namun Saidi Latif, 50, melayan sepasang warga emas yang tinggal berdekatan bengkelnya bagaikan orang tuanya sendiri.


Saidi berkata, dia mengenali Azmi Zahid, 71, dan isterinya Siti Sofea Saad, 60, sejak kedua-duanya berpindah menyewa di sebuah bilik di belakang bengkel miliknya di Setapak Jaya di sini, setahun lalu.


“Saya difahamkan mereka tiada anak dan tiada saudara-mara di sini.


“Jadi, sebagai jiran terdekat, saya bantu apa termampu termasuk membelikan makanan dan membawa pak cik Azmi ke hospital,” katanya.


Katanya, dia bergilir-gilir dengan isterinya Norcita Abu Bakar, 35, menjenguk keperluan warga emas itu setiap hari.


SITI Sofea tinggal bersama suaminya di sebuah bilik berdekatan bengkel milik Saidi.



“Sepanjang pak cik jatuh sakit, saya tolong mandikan, pakaikan lampin pakai buang dan beri makan ubat serta membelikan makanan untuk mereka.


“Pada sebelah petang isteri pula mengambil alih selepas balik dari kerja.


“Kami sudah anggap mereka berdua macam orang tua kami, jadi kami bantulah mana yang termampu,” katanya.


BELAKANG Azmi mengalami luka akibat baring terlalu lama.



Menurut Saidi, bilik sewa berkeluasan 21 meter persegi yang layak dipanggil stor, menjadi ‘syurga’ warga emas itu berteduh sejak lebih setahun lalu.


“Di situlah tempat tidur di situ juga tempat makan minum mereka setiap hari. Paling menyedihkan, apabila hujan kasihan mereka berdua basah kerana atap bilik sewa itu bocor sana sini,” katanya yang dalam proses membaik pulih atap berkenaan.


Dia yang pulang menyambut Aidilfitri ke Kota Bharu, Kelantan hari ini akan menyediakan segala keperluan warga emas itu dengan lebih awal.


“Sebelum balik kampung, saya akan sediakan dan belikan apa saja keperluan mereka.


“Hati saya bimbang juga meninggalkan mereka berdua di sini, tetapi saya sudah berpesan kepada kakitangan supaya menjenguk mereka nanti.


“Doa saya moga tiada apa-apa berlaku kepada mereka sepanjang enam hari ketiadaan saya,” katanya.


Sementara itu, Siti Sofea berkata, selama 20 tahun mereka menetap di rumah panjang Setapak Jaya namun selepas dirobohkan mereka berpindah ke Bukit Jalil sebelum menyewa di sini, tahun lalu.


BILIK berkeluasan 21 meter persegi menjadi tempat berteduh daripada hujan panas.



“Kami berpindah ke sini bagi memudahkan suami berulang-alik kerja di pusat bandar,” katanya yang menyewa bilik itu RM140 sebulan.


Katanya, sejak suaminya terlantar akibat kanser paru-paru tahap empat, dia mengambil alih tugas mencari nafkah.


“Setiap pagi saya menguruskan keperluan suami termasuk memandikan suaminya dengan bantuan Saidi.


“Pada sebelah petang, saya keluar membantu orang di pasar malam atau bazar Ramadan. Lebihan makanan itulah makanan kami.


“Pendapatan tidak menentu dan ada ketikanya, dapatlah RM15 selepas menjual kotak atau botol yang dicari di tempat buangan sampah,” katanya.


Siti Sofea berkata, lebih 20 tahun menetap di ibu negara, mereka terputus hubungan dengan keluarga di Alor Setar, Kedah.


“Sudah 20 tahun kami tidak balik raya. Raya kami ala kadar saja, baju raya pun orang sedekah.


“Selalunya, juadah raya kami hanya mi segera, kalau ada makanan sedap pun ihsan pemberian orang,” katanya.


Sementara itu, Azmi berkata, sudah tiga bulan dia tidak bekerja kerana terlantar.


“Dulu saya kerja pengawal keselamatan dengan gaji RM600 sebulan. Tetapi, sejak jatuh sakit saya tak berdaya untuk bangun.


“Pihak hospital juga tidak boleh buat apa-apa lagi, cuma sekarang saya makan ubat diberi dan sesekali membuat rawatan susulan,” katanya.


Norlida Ishak Shop