Expired : 18.06.18

Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai lebih RM3.6 juta


PETALING JAYA, 10 Muharram 1441H, Selasa – Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan seorang lelaki dan merampas rokok serta minuman keras dianggar bernilai lebih RM3.6 juta termasuk cukai di Pelabuhan Klang di sini, Jumaat lepas.


Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, lelaki berusia 36 tahun yang merupakan pemandu kontena ditahan jam 12.30 tengah malam oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan Unit 1.


Beliau berkata, hasil imbasan melalui mesin pengimbas kontena mendapati suspek membawa barang dagangan tidak sama dengan dagangan yang diikrar.


“Pemeriksaan kontena mendapati terdapat 22,500 karton rokok putih jenama U2 dan 1,224 karton minuman keras jenama Heineken yang dipercayai belum lulus Kastam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok dan minuman keras itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.


“Rokok ini kebiasaannya dijual dengan harga antara RM5 hingga RM6 ringgit sekotak, lebih murah daripada harga biasa.


“Selain itu, pemeriksaan mendapati kontena itu menggunakan pengikraran palsu yang dibuat oleh sindiket untuk mengabui mata pihak berkuasa,” katanya.


Zulkurnain berkata, suspek kini direman selama tujuh hari daripada tarikh ditahan untuk siasatan lanjut.


“Pihak kami masih menjalankan siasatan sama ada lelaki ditahan terbabit secara langsung dengan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport tanpa permit yang sah. – Bernama


The post Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai lebih RM3.6 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop