Expired : 18.06.18

Kawal nafsu makan atau potong elaun

PEMAIN Selangor terpaksa mengawal 'nafsu makan' sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sekiranya tidak mahu berdepan pemotongan elaun mereka.


Menurut pengendali Red Giants, B Sathianathan, hukuman pemotongan elaun itu sememangnya ada dalam kontrak pemain dan mereka harus sedar akan peraturan itu.


Jelasnya, pemain perlu mengekalkan kecergasan mereka dengan membuat aktiviti senaman yang sudah dirangka oleh pengurusan pasukan terhadap pemain.


Justeru, apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung kembali, kecergasan pemain akan dinilai termasuk berat badan pemain.


“Saya tak beri apa-apa denda atau peringatan kepada pemain kerana di dalam kontrak memang diwajibkan untuk mereka sentiasa kekal cergas dan menjaga berat badan.


“Kalau berat badan naik dalam tempoh ini (PKP), elaun mereka boleh dipotong oleh pengurusan pasukan kerana tidak mematuhi peraturan pasukan.


“Tapi saya percaya pemain tahu apa yang perlu dilakukan. Malah, setiap hari mereka harus berkongsi video latihan di rumah untuk rekod pasukan,” katanya ketika dihubungi.


Kerajaan melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini sekali gus menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menangguhkan saingan Liga-M yang mula dihentikan pada 16 Mac lalu.


Sementara itu, ketika Arena Metro cuba mendapatkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengenai pemotongan gaji susulan penangguhan liga yang disebabkan oleh penularan wabak Covid-19, beliau perlu membawa cadangan itu di dalam mesyuarat untuk dibincangkan.


Terdahulu, FAS dikatakan bakal membuat pemotongan gaji ke atas pasukan susulan ketiadaan perlawanan dan latihan yang ditangguhkan ekoran wabak Covid-19.