Expired : 18.06.18

KDN pertimbang wujudkan ‘penjara swasta’

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Kerajaan sedia mempertimbang untuk mewujudkan ‘private prison’ atau penjara swasta bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara seluruh negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.


Beliau berkata, setakat ini kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.


“Dalam tekanan kewangan kini, mungkin kita boleh mengkaji dan mempertimbang untuk mewujudkan ‘private prison’ seperti dilaksana di United Kingdom (UK),” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kolokium Pembaharuan Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang dekat sini hari ini.


Mohd Azis berkata, beliau sempat melihat operasi ‘private prison’ tersebut semasa lawatannya ke UK baru-baru ini, dan ia tidak memerlukan kerajaan untuk membina penjara baharu.


Jelasnya, perkara tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Penjara untuk membuat kajian daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil kajian kepada kementerian untuk dipertimbangkan.


Beliau berkata, sekiranya dilaksanakan penjara berkenaan akan menempatkan banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan ringan.


Sementara itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan bagi menaik taraf penjara lama di negara ini, Mohd Azis berkata, tiga penjara iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan; Batu Gajah, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan akan ditambah baik bermula tahun hadapan.


Menurutnya, tiga lagi penjara iaitu di Taiping, Perak; Muar, Johor dan Pulau Pinang yang juga perlu diselenggara turut mendapat perhatiannya.


“Struktur bangunan ini sudah terlalu lama dan kami akan mendapatkan peruntukan …jika boleh untuk tahun hadapan,” katanya.- Bernama


The post KDN pertimbang wujudkan ‘penjara swasta’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop