Expired : 18.06.18

Keadaan Muhammad Adib makin positif: IJN


KUALA LUMPUR, 22 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan diletakkan dalam keadaan koma secara perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, sudah sedar dan menunjukkan perkembangan positif pagi ini.


Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, semakin baik dan beliau mampu memberi tindak balas terhadap sesetengah arahan verbal pakar perubatan.


“Kami merumuskan keadaan beliau sebagai kritikal namun stabil. Kami selaku petugas perubatan berasa gembira dengan perkembangan beliau dalam tempoh 24 dan 48 jam lalu.


“Pagi ini beliau terjaga dan faham akan sesetengah arahan serta boleh menggerakkan bibirnya. Ini petanda positif yang menyatakan fungsi otaknya bermungkinan okey,” katanya pada sidang media, di sini.


Dari segi fungsi organ-organ lain, Dr Mohd Azhari berkata, keadaan Muhammad Adib stabil sepanjang malam tadi dengan bantuan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), peralatan yang membantu jantung dan paru-parunya berfungsi dengan baik.


Katanya, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis dan dijangkakan beliau memerlukan mesin itu sekurang-kurangnya selama dua hari.


“Ini disebabkan beliau mengalami kecederaan dan dengan tekanan darahnya yang rendah untuk suatu tempoh, buah pinggang beliau menerima tekanan, bermakna organ itu tidak berfungsi dengan baik. Itu sebabnya beliau memerlukan dialisis,” jelasnya.


Beliau berkata, anggota bomba itu masih diberikan sedatif yang tinggi bagi membolehkan organ-organnya pulih.


Ringkasnya kata Dr Mohd Azhari, keadaan anggota bomba itu kekal kritikal namun stabil dengan tanda-tanda perkembangan positif yang menggalakkan.


Beliau berharap semua rakyat Malaysia mendoakan Muhammad Adib agar pulih sepenuhnya.


Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Md Farid Md Rafik berkata, beliau mewakili kerajaan menzahirkan penghargaan kepada pakar perubatan IJN dan yang terlibat sebelum ini dalam memberi rawatan kepada Muhammad Adib.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sultan Nazrin Shah menziarahi Muhammad Adib pagi ini. – Bernama


The post Keadaan Muhammad Adib makin positif: IJN appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop