Expired : 18.06.18

Kecelaruan Pemimpin PH Terhadap Ketuanan Melayu Dibidas



Johor Bahru, 31 Okt – Pemimpin Pakatan Harapan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibidas lantaran Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat bercelaru dalam asas konsep Ketuanan Melayu.


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata jika perkara asas ini pun mereka sudah celaru, janganlah diangkat perkataan ‘Pribumi’ sebaliknya bukalah sahaja keahlian PPBM itu kepada bukan Melayu jika mahu melenyapkan Ketuanan Melayu dari bumi Malaysia ini.


“Pergerakan Pemuda UMNO Johor berharap soal Ketuanan Melayu ini usahlah dipolemik atau diheret ke kancah politik, biarlah perkara itu kekal ‘terbuku’ dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Biar siapa pun yang memerintah atau menerajui kerajaan, Ketuanan Melayu tetap diangkat selari dengan prinsip ketiga Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan, melainkan Kerajaan PH yang mahu mengubah Malaysia ini sanggup mengubah Rukun Negara, semata-mata menidakkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berharap agar soal Ketuanan Melayu ini usahlah dipolemik atau diheret ke kancah politik dan biarlah perkara itu kekal ‘terbuku’ dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Ketua Armada seharusnya lebih bijak mengutarakan soal Ketuanan Melayu yang menjadi pegangan majoriti rakyat di Malaysia ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak’. Bukannya ‘menempelak’ dan mencanang bagai diri seorang pejuang, tetapi akhirnya ‘kebodohan’ yang terlihat.


“Istilah Ketuanan Melayu sudah wujud sekian lama sebelum wujudnya Malaysia dan menjadi konsep serta asas kaum Melayu sehingga diwartakan di dalam Perlembagaan.


“Ketuanan Melayu yang dijadikan asas sekian lama bukanlah bererti Malaysia selama ini menidakkan hak kaum lain sebagai warganegara, sebaliknya bebas hidup dengan aman dan damai sehingga hari ini.”


Soal beliau, apakah tuan empunya diri sebagai seorang Bangsa Melayu sanggup mengatakan zaman Ketuanan Melayu sudah berakhir, sedangkan sudah berabad lamanya konsep itu diangkat dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang keraguan?


“Hanya disebabkan masalah sosial dan lemahnya ekonomi Bangsa Melayu itu terus Ketua Armada itu mencampak jauh Ketuanan Melayu.


“Kenapa tidak kerajaan atau lebih tepat lagi parti yang mengangkat perkataan ‘Pribumi’ itu menyambung memperjuangkan Perkara 153 Perlembagaan mengenai hak istimewa Melayu.”


Bidas beliau lagi, adakah Ketua Armadanya tidak sealiran pemikiran dengan Pengerusinya dalam soal menjaga orang Melayu, yang dikatakan mampu lebih baik berbanding UMNO?


“Jika perkara asas ini pun mereka sudah celaru, janganlah diangkat perkataan ‘Pribumi’, bukalah sahaja keahlian Bersatu itu kepada bukan Melayu jika mahu melenyapkan Ketuanan Melayu dari bumi Malaysia ini.” – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop