Expired : 18.06.18

Kecewa Dr M terus hina Melayu

BANGI, 7 Safar 1441H, Ahad – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kesal apabila ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu, hari ini berterusan menghina dan merendahkan orang Melayu.


Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, ucapan pemimpin nombor satu negara itu bukan sahaja tiada pembaharuan, malah tiada elemen untuk beliau insaf bagi memupuk perpaduan ummah.


“Beliau berterusan merendahkan orang Melayu dengan mengatakan Melayu tidak mahu bekerja susah dan tidak mahu bekerja keras.


“Bagi saya, Kongres ini tidak menaikkan imej Melayu, maruah Melayu, sebaliknya antiklimaks yang menjatuhkan serta merendahkan semangat orang Melayu,” katanya.


Terdahulu, Dr Mahathir berkata, orang Melayu tiada kemahuan untuk memperbaiki nasib mereka sendiri.


“Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak senang didengari kita semua, tetapi ini semuanya yang berlaku dan inilah yang akan diwarisi oleh generasi muda.


“Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup kerja, hadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan,” katanya.


Dr Mahathir turut mengakui orang Melayu telah melakukan banyak kesalahan sehingga menyebabkan diri mereka ditekan dan dihina atas kesilapan sendiri.


Mengulas perkara itu, Aminuddin yakin majoriti orang Melayu hari ini terkesan serta kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir.


Justeru, pihaknya meminta rakyat supaya terus bangun dan tidak membiarkan kerajaan hari ini mempersendakan nasib bangsa Melayu.


“Kononnya mahu menaikkan maruah Melayu hari ini, tetapi kita lihat apa yang dikhabarkan dan disampaikan hanya semata-mata untuk merendahkan orang-orang Melayu,” katanya.


Kongres Maruah Melayu dianjurkan empat universiti – Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara – bagi membincang serta mencari penyelesaian masalah orang Melayu.


The post Kecewa Dr M terus hina Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop