Expired : 18.06.18

Kedai kopi beruk

SELALU kita dengar orang minum di kedai kopi, tetapi jarang kita melihat sekumpulan beruk bersarapan nasi digaul bersama telur mentah, kuih dan minum susu atau air bergas sebelum memulakan kerja memanjat kelapa.


Kelainan itu boleh dilihat di sebuah warung dikenali penduduk setempat sebagai Warung Kopitiam Beruk di Kampung Melor Lama, Melor di sini, sejak hampir 10 tahun lalu apabila kedai kopi berkenaan menjadi tumpuan penternak beruk di kawasan sekitar.


Tidak segan kedai kopinya dikaitkan dengan beruk, pemiliknya, Rohaida Ibrahim, 40, berkata, dia seronok apabila seawal jam 7 pagi, penternak beruk seolah-olah berjanji untuk bertemu, berkongsi maklumat dan masalah mengenai beruk di kedai makannya.


“Melihat gelagat beruk makan sangat menyeronokkan apabila pembela memanjakannya termasuk menyuap kuih Cik Mek dan donat serta minuman seperti susu atau milo.


Menjadi generasi muda kepada penternak beruk di sekitar Melor dan Alor Bakat, Bachok, suami Rohaida, Mohd Saiful Mohd Sori, 45, berkata, dia menternak beruk sejak lebih 20 tahun lalu dan pendapatannya bergantung kepada tenaga beruk memanjat kelapa.


“Kebiasaannya beruk ini makan sama seperti apa yang tuannya makan, kalau tuan makan nasi, dia pun makan nasi dan jika tuannya minum milo, dia akan minum air sama.


MOHD Saiful memberi susu kepada beruknya yang diberi nama Dolah. FOTO Bernama



“Tempat ini dianggap legenda kerana di sini kami berbincang mengenai beruk peliharaan, malah beberapa pertandingan memetik kelapa dianjurkan kumpulan kami yang membawa ramai golongan termasuk pelancong luar negara,” katanya.


Menjinak dan melatih beruk dinamakan Dolah yang berusia 15 tahun, Mohd Saiful berkata, dia tidak putus menternak haiwan itu yang dibela silih berganti selepas beruk mati atau dijual.


Katanya, apabila beruk lain datang ke kedai terbabit, Dolah mempunyai kawan seperti Mamat berusia dua tahun milik Mat Zain Hamzah, 80, Din berusia empat tahun dimiliki Mohd Yusoff Yaacob, 66, dari Kampung Alor Bakat dan beruk cilik betina dinamakan Saripah berusia setahun dibela Aznan Mohamad, 32.


Sangat mengujakan apabila Zaidi Zakaria, 50, yang tinggal di Kampung Pondok, Jambu Merah, Melor di sini, mampu menternak beruk paling garang iaitu Kechik yang kini berusia enam tahun.


“Berat Kechik ialah 10 kilogram dan walaupun dia dibela sejak kecil, tetapi sampai sekarang kami belum mesra dengannya. Malah, saya sudah tiga kali digigit hingga berparut di jari kelengkeng,” katanya.


Penternak beruk, Yasin Awang Puteh, 72, dari Kampung Merbau berkata, sepanjang lima tahun dia menjaga Mat Soyok (koyak), beruk itu banyak memberi pulangan kepadanya kerana haiwan terbabit rajin memetik buah kelapa iaitu kira-kira 200 hingga 300 biji sehari dari jam 7 pagi hingga 11 tengah hari.


“Kita perlu kenal sifat beruk jantan iaitu terlalu cemburu dengan orang perempuan hingga boleh mengamuk,” katanya.


Norlida Ishak Shop