Expired : 18.06.18

Kedaulatan negara terancam jika Singapura guna ILS


KUALA LUMPUR, 26 Rabiulawal 1440H, Selasa – Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Singapura berhubung hasrat negara itu menyiar dan menguat kuasa tatacara Sistem Instrumen Pendaratan (Instrument Landing Systems – ILS) di Lapangan Terbang Seletar republik itu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan negara jiran itu boleh merencatkan pembangunan di kawasan Pasir Gudang, Johor selain menjejaskan operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak berdekatan lapangan terbang berkenaan.


Pada 28 dan 29 November lalu kerajaan telahpun memaklumkan kepada Singapura mengenai keputusan Malaysia untuk tidak membenarkan mereka meneruskan penyiaran tatacara ILS.


Namun, ia tetap diteruskan negara itu yang menyiarkannya melalui Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) Singapura pada 1 Disember lalu yang akan berkuat kuasa 3 Januari ini.


“Penyiaran ini adalah bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Konvensyen Chicago 1944),” katanya menjawab soalan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan asal Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada pembangunan di kawasan Pasir Gudang, termasuk kepentingan Pelabuhan Johor akan tergugat susulan hasrat Singapura merancakkan operasi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Seletar.


Lapangan terbang itu terletak hanya dua kilometer dari sempadan negara dan bilakah kerajaan akan mengambil balik ruang udara yang diwakilkan di selatan Johor daripada Singapura.


Loke menjelaskan tatacara ILS merujuk kepada kaedah pendaratan yang dibantu alat pandu arah di lapangan terbang dan bagi membolehkan ILS digunakan, butiran terperinci mengenai peraturan, kaedah dan maklumat berkaitan ‘jalan masuk’ ini perlu disiarkan secara rasmi di AIP.


Berkenaan usaha mengambil balik ruang udara yang diwakilkan di selatan Johor daripada Singapura, Loke berkata kerajaan telah memaklumkan kepada Singapura pada 29 November lalu mengenai rancangan Malaysia mengambil balik ruang udara kedaulatannya secara berperingkat.


Peringkat pertama dijangka pada penghujung 2019 dan peringkat seterusnya pada 2023 dengan perbincangan lebih terinci dengan negara jiran itu akan dibuat dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa untuk saranan lanjut.


“Rancangan mengambil balik ‘delegated airspace’ Malaysia di selatan Johor perlu dilakukan secara berperingkat bagi menyelaraskan tatacara perkhidmatan kawalan trafik udara di antara pihak penyedia perkhidmatan pengemudian udara di kedua-dua negara demi menjamin pergerakan selamat pesawat,” katanya.


Katanya, sejak 1974 ruang udara di selatan Johor telah diwakilkan kepada Singapura untuk tujuan penyediaan perkhidmatan kawalan trafik udara melalui ‘Operational Letter of Agreement between Kuala Lumpur and Singapore Area Control Centres Concerning Singapore Arrivals, Departure and Overflight’. – Bernama


The post Kedaulatan negara terancam jika Singapura guna ILS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop