Expired : 18.06.18

Kelainan Wacana Ilmu Penerangan UMNO Malam Ini “Muafakat Nasional : Antara Impian Dan Harapan”

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Wacana Ilmu Penerangan UMNO yang akan bersiaran malam ini jam 9 malam bukan sekadar wacana biasa. Ia luarbiasa kerana inilah kali pertama ditemukan empat pemimpin berpengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu pentadbiran kanan negara dan negeri, penulisan dan kewartawanan serta pentadbiran agama.


Apakah yang boleh kita jangka dari siaran ini? Sudah tentulah satu wacana yang padat dengan kisah penceritaan detik-detik penting yang tidak pernah kita ketahui selama ini berkaitan penyatuan ummah, momen-momen nostalgia politik, air mata gembira dan tangisan perpecahan dan bertaut semula perpaduan umat Islam dan Melayu, ungkapan dan nasihat serta pelbagai rahsia yang mungkin belum pernah kita dengar.


Haji Subky Latif atau Pak Subky adalah ‘orang lama’ dalam penulisan politik dan kewartawanan. Pernah dinobat sebagai Tokoh Wartawan. Malam ini, digandingkan beliau bersama Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS, bekas Ketua Penerangan, bekas wakil rakyat, tokoh agama dan juga adalah antara pemidato terbaik dalam PAS.


Mereka akan bersama pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO, bekas Menteri Besar Johor dan Menteri Pusat di banyak kementerian. Bersama beliau Datuk Haji Othman Desa, bekas Setiausaha Politik kepada YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima dan Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal agama Islam.


Subky kini adalah Pengerusi AsSabiqun, badan yang menjaga hal ehwal veteran dan jasawan PAS manakala Datuk Othman pula Pengerusi Veteran UMNO, yang menjaga hal ehwal jasawan UMNO.


Topik wacana ialah “Muafakat Nasional – Antara Impian dan Harapan” yang akan mengupas susur galur detik-detik rundingan yang membawa kepada peristiwa bersejarah Penyatuan Ummah dan termeterinya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lepas dan ke mana rakyat Malaysia akan dibawa oleh piagam berkenaan selepas ini.


Menariknya adalah, Pak Subky, juga kolumnis kanan dalam akhbar Harakah, diketahui sejak dahulu adalah seorang yang sangat vokal mengkritik UMNO. Namun, kini beliau adalah seorang yang sangat bersyukur dengan berlakunya penyatuan ummah UMNO dan PAS.


Malahan, dalam satu penulisannya, beliau tanpa segan menyalahkan Dr Mahathir Mohamad sebagai punca musnahnya muafakat UMNO-PAS yang pernah dijalin pada 1974-1978.


Satu entri menarik untuk kita sama sama renungkan, yang tercatat dalam salah satu penulisan Pak Subky di Harakah: “Sentuhan politik matang ini sebenarnya bermula sejak PRU-13 lagi. Pakatan tidak boleh diharap melonjakkan agenda politik Islam, justeru DAP tolak kerana ia tidak termasuk hal yang dipersetujui bersama. Demi Islam, PAS boleh bersama siapa sahaja …”


Datuk Seri Khaled dan Ustaz Idris pula adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Piagam Muafakat Nasional yang bertanggungjawab merangka dan menggubal butiran kerjasama penyatuan dua parti terbesar Melayu Islam di negara ini.


Perbincangan wacana akan dipengerusikan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid. Sama-samalah kita saksikan wacana bersejarah di UMNO Online malam ini, padat dengan tauladan, panduan rakyat ke hadapan. -UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop