Expired : 18.06.18

Kelantan bakal terima royalti selepas lawatan Azmin

Selepas Terengganu, kini tiba giliran Kelantan pula menerima bayaran royalti petroleum dari Petronas.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembayaran itu akan dibuat selepas Kelantan menarik balik saman mereka terhadap Putrajaya – yang dijangka selesai pada April ini.


“Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, semalam.


Menurut timbalan presiden KEADILAN itu, Putrajaya melunaskan semua bayaran royalti 2018 kepada Terengganu.


Kelantan pula menerima hanya sebahagian bayaran tahun lepas akibat pertikaian berhubung saman berkenaan belum selesai, katanya.


Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakub sebelum ini memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum Kelantan sewaktu bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Januari lalu.


Oktober lalu jga Kelantan menarik semula saman royalti minyak terhadap Petronas yang difailkan pada 2011 sewaktu Malaysia ditadbir Umno-BN.


Sementara itu, Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan berjanji akan memberi perhatian kepada pembangunan negeri Kelantan termasuklah UMK.


Janji tersebut selaras dengan iltizam Azmin untuk mengukuhkan semangat federalisme dalam lawatannya ke Kelantan yang bermula Rabu lalu.


Norlida Ishak Shop