Expired : 18.06.18

Kelantan diminta kaji semula lesen syarikat bukan Islam

KOTA BHARU, 9 Safar 1441H, Selasa – Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Kelantan meminta kerajaan negeri mengkaji semula garis panduan lesen yang telah dan akan diberikan kepada syarikat bukan Islam supaya tidak mengelirukan masyarakat Islam.


Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, perkara itu penting kerana pihaknya mendapati terdapat syarikat bukan Islam menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama atau lambang Islam dan Melayu yang boleh mengelirukan masyarakat.


“Kerajaan negeri perlu meneliti semula garis panduan lesen yang diberikan kepada syarikat bukan Islam kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam bidang ini dan perlu merangka dasar baharu supaya syarikat bukan Islam tidak mengambil kesempatan menggunakan nama-nama berkaitan Islam.


“Bukan mahu boikot orang bukan Islam namun masyarakat Islam perlu jelas berkaitan halal dan haram,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.


Beliau berkata, ia secara jelas terdapat banyak kedai atau syarikat seolah-olah dimiliki oleh orang Islam namun realitinya bukan dimiliki oleh orang Islam berikutan terdapat perkara tidak sesuai dengan agama itu.


“Ia perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan kerana amat mengelirukan masyarakat muslim, garis panduan baharu perlu dikeluarkan bagi mengelakkan bukan Islam tidak mengambil kesempatan.


“Hubungan kaum di negera ini amat baik namun hal hukum halal dan haram tidak boleh bertolak ansur kerana ini telah ditetapkan oleh agama Islam,” katanya.


Beliau berkata, selain itu pihaknya menyokong kempen Buy Muslim’ First (BMF) kerana ia bagi kepentingan masa hadapan orang Islam yang selama ini tidak berikan perhatian.


“Justeru, pihak kerajaan negeri juga sepatutnya memainkan peranan yang sama mendukung kempen BMF bagi memastikan kejayaan kempen ini demi kepentingan umat Islam di Malaysia.


“Kami menyarankan kerajaan negeri dapat menguatkuasa undang-undang mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada kedai atau syarikat bukan Islam menggunakan nama Melayu atau Islam sedangkan pemilik sebenarnya bukan Islam,” katanya. – Bernama


The post Kelantan diminta kaji semula lesen syarikat bukan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop