Expired : 18.06.18

Kelantan jinakkan Selangor United

KELANTAN berjaya meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila menang 2-0 dengan Selangor United pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


Pasukan tuan rumah terlebih dahulu hampir membuka jaringan seawal minit pertama, ketujuh dan ke-11 menerusi rembatan deras Imran Samso, Nik Akif Syahiran Nik Mat, dan Nik Azli Nik Alias namun ketiga-tiganya tersasar.


Skuad kendalian Yusri Che Lah itu kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol Selangor United pada minit ke-23 dan 31 menerusi cubaan Nik Azli, bagaimanapun, sepakannya itu sedikit melepasi palang gol walaupun penjaga gol Damien Lim sudah pun tertewas.


Pada minit ke-37, giliran penyerang import dari Korea Selatan, Hwang Sinyoung memiliki peluang, bagaimanapun, cubaannya hasil sepakan percuma dihalang penjaga gol Kelantan, Mohamad Fikri Che Soh.


Kelantan dilihat lebih garang di awal permainan pada babak kedua hasilnya pada minit ke-49, Nik Akif berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah kesilapan pertahanan pelawat menjatuhkan Amirul Syafik Che Soh dalam kawasan penalti.


Selang tiga minit, The Red Warriord (TRW) berjaya menambah jaringan menerusi rembatan jarak dekat Nik Azli hasil situasi kelam kabut di dalam kawasan penalti untuk menewaskan Damien kali kedua.


TRW kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-78 namun rembatan leret Seydi L’Imam terkena tiang gol sebelah kanan walaupun Damien sudah tertewas.


TRW melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.


Norlida Ishak Shop