Expired : 18.06.18

Kelayakan MB Johor: Khaled Nordin gesa UPM beri jawapan


BANGI, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu mempercepat memberi penjelasan berhubung ijazah yang dikatakan diperoleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, daripada universiti berkenaan.


Sebelum ini, netizen mempertikaikan kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan daripada UPM.


Hasil pemeriksaan mereka mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti itu.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, oleh kerana Osman memilih untuk membisu, maka UPM yang dulunya dikenali Universiti Pertanian Malaysia, harus tampil dan membuat penjelasan.


“Memandang UPM sendiri sudah berjanji kepada orang awam untuk membuat penjelasan, maka saya gesa penjelasan ini diberikan segera. Hanya penjelasan daripada pihak UPM akan mematikan dan menentusahkan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Pada masa sama beliau kesal kerana Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berdiam diri dalam isu sijil akademik ‘palsu’ pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan keperluan untuk memberi jawapan.


Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memegang portfolio berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi, Maszlee mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu ini.

“Beliau mesti menjadi suara yang mampu menjaga integriti dunia kesarjanaan. Tidak ada orang yang lebih layak dan berautoriti melainkan beliau dalam memberi penjelasan berhubung perkara ini.

“Adalah sangat memalukan jika kepimpinan negara ini dipenuhi dengan mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri, malah mereka disokong dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin PH.

“Perkara yang paling dikesalkan dalam episod berlarutan penipuan sijil dan kelayakan akademik pemimpin PH dan kerajaan hari ini adalah dalihan demi dalihan yang dikeluarkan oleh mereka yang dituduh. Justeru, bagi menjelaskan dan mematikan isu ini, pihak-pihak yang diheret dan terpalit mesti tampil dan memberi penjelasan,” katanya.


The post Kelayakan MB Johor: Khaled Nordin gesa UPM beri jawapan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop