Expired : 18.06.18

KEMAS KINI | 4 rancang bunuh VVIP tuntut keadilan untuk Adib


KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1440H, Isnin – Empat lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang merancang melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, ditahan di sekitar Terengganu dan Lembah Klang pada Ahad hingga Selasa lepas.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata kesemua suspek terbabit antaranya mempunyai perancangan melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lepas.


Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel ‘Wolf Pack’ pengganas Daesh serta bersedia untuk melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib.


“Sel ini juga merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap personaliti-personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan dan menghina agama Islam.


“Selain itu, mereka juga merancang untuk melakukan serangan berskala besar terhadap tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.


Abdul Hamid berkata, suspek pertama yang ditahan adalah rakyat tempatan yang juga ketua sel “Wolf Pack” pengganas Daesh berusia 34 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.


“Suspek merupakan dalang yang merancang untuk melakukan pembunuhan dan serangan ke atas tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu dan Buddha termasuk pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.


“Tangkapan ini juga membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis CZ 9mm bersama 15 butir peluru dan enam ‘improvised explosives deviced’ (IED) yang setiap satu berukuran lebih kurang 18cm panjang,” katanya.


Beliau berkata, senjata api dan enam batang IED itu diperoleh dari sebuah negara jiran dan akan digunakan dalam operasi pembunuhan dan serangan terhadap tempat-tempat ibadat bukan Islam itu serta pusat hiburan.


Selain itu, suspek kedua yang ditahan merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingnya dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).


Abdul Hamid berkata, lelaki yang berusia 20 tahun itu bekerja sebagai pelayan restoran dan mengaku menganggotai kumpulan pengganas itu serta menyokong kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).


“Suspek turut merancang untuk melancarkan serangan ke atas kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine,” katanya. – Bernama


 







 







The post KEMAS KINI | 4 rancang bunuh VVIP tuntut keadilan untuk Adib appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop