Expired : 18.06.18

Kematian pelajar tahfiz, cemburu punca pergaduhan

KUANTAN, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, yang berakhir dengan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin pada Khamis lepas.


Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa, yang baru belajar di situ mulai pertengahan Oktober lalu difahamkan mendapat lebih perhatian daripada pasangan suami isteri yang mengusahakan pusat tahfiz berkenaan.


“Mangsa yang merupakan pelajar paling muda di situ juga difahamkan agak mesra dan manja dengan pasangan tersebut sehingga dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain yang membawa kepada pergaduhan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.


Abd Jalil berkata, bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh semalam, mengesahkan punca kematian Mohammad Aimin adalah disebabkan trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.


Beliau memaklumkan tiga pelajar pusat tahfiz berusia 13 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kematian Mohammad Aimin, kini direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Media semalam, melaporkan kematian Mohammad Aimin yang disahkan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari Khamis, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.


Mohammad Aimin dibawa ke klinik itu oleh isteri pengusaha pusat tahfiz berkenaan, yang menemui mangsa dalam keadaan lemah di asrama, selepas menyedari mangsa tidak bersama pelajar lain ke masjid bagi menunaikan solat zuhur.


Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa, yang difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu bersama abang tirinya.


Pusat tahfiz yang terletak di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu difahamkan mula beroperasi sejak awal tahun lepas dan tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan setakat ini mempunyai 14 pelajar, dengan hanya empat daripadanya menetap di asrama. -Bernama


The post Kematian pelajar tahfiz, cemburu punca pergaduhan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop