Expired : 18.06.18

Kemenangan DAP satu ‘tamparan’ kepada Najib – Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kemenangan parti itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan adalah satu “tamparan hebat” buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Menurutnya, kemenangan calon DAP, Vivian Wong juga menamatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.


“Ini merupakan satu tamparan hebat kepada kempen “malu apa bossku” oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak tahu malu,” kata Lim dalam satu kenyataan malam ini.


Tidak seperti di PRK sebelum ini, DAP melancarkan kempen besar-besaran di Sandakan setelah tewas di PRK Cameron Hinglands sebelum ini.


Selain Kit Siang, anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah antara yang giat berkempen sambil dibantu oleh komponen PH yang lain.


Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, sebaliknya memberi laluan kepada parti tempatan Parti Bersatu Sabah (PBS).


Dalam pilihan raya kecil itu, Vivian menang dengan majoriti 11,521 undi, menewaskan calon PBS Linda Tsen dan tiga calon bebas.


Tsen hanya memperoleh 4,491 undi.


Sementara itu, dalam ucapan kemenangannya, Wong memberi penghormatan kepada mendiang bapanya, Stephen Wong, yang menyandang kerusi itu sebelum ini.


“Tanpa dia, saya tidak akan ada di sini untuk bercakap dengan anda semua. Dia menggilap saya untuk menjadikan saya seperti hari ini, seorang wanita muda yang kuat. Kemenangan hari ini bukan hanya kemenangan untuk diri saya, tapi untuk ayah saya.


“Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah melawat pusara ayah saya esok dan secara peribadi mengucapkan terima kasih kepadanya,” katanya pada sidang akhbar selepas kemenangannya diumumkan malam ini.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan kepada semua pihak yang telah berkempen untuknya serta pengundi di Sandakan.


Wong berkata beliau telah menerima beberapa aduan dari penduduk setempat dan akan berusaha memperbaiki masalah di kawasan itu.


The post Kemenangan DAP satu ‘tamparan’ kepada Najib – Kit Siang appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop