Expired : 18.06.18

Kemenangan di AKRI 2018 Iktiraf Kualiti Pengajaran UTM

JOHOR BAHRU, 20 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuktikan kualiti pengajaran mereka adalah antara yang terbaik apabila memenangi beberapa kategori dalam Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia : Reka Bentuk Kurikulum & Penyampaian Inovatif (AKRI) 2018.


Pensyarah dari Sekolah Pendidikan UTM, Dr. Adibah Abdul Latif tampil cemerlang apabila telah diumumkan sebagai Johan bagi Kategori Pengajaran Transformatif : Pentaksiran Alternatif, melalui projeknya Pentaksiran Autentik bagi Kemahiran Generik Melalui Pembelajaran Servis.


Dengan kemenangan ini, Dr. Adibah membawa pulang wang tunai RM 10,000.00 dan sijil penghargaan.


UTM MyLine yang diketuai oleh Prof. Madya Fatimah Puteh pula diumumkan sebagai Naib Johan bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun melalui projek MyLinE UTM-UNMC BCEDP MUET Preparatory Transnational Collaboration Project.


Untuk kemenangan ini, Prof. Madya Fatimah membawa pulang wang tunai RM5,000.00 dan juga sijil penghargaan.


Bagi kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif pula, UTM melalui projek Sarjana Sains (Pengurusan Tenaga) yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Zainuddin Abd Manan telah memenangi tempat ketiga.


Prof. Zain yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM telah diwakili oleh Prof. Madya Ir. Dr. Haslenda Hashim untuk sesi pembentangan.


Dengan kemenangan tersebut, UTM turut membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM3,000.00 dan sijil penghargaan.


Terdapat dua lagi penyelidik UTM yang turut berjaya terpilih sebagai finalis iaitu Prof. Dr. Zaidatun Tasir dan Prof. Madya Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid.


Prof. Zaidatun telah membentangkan projeknya yang bertajuk Aplikasi Numerasi Mudah Alih (RMATHs) Untuk Pelajar Masalah Pembelajaran (LD) Di Program Pendidikan Khas Inegrasi (PPKI) manakala Prof. Madya Dr. Mohd. Kamaruddin pula membentangkan projeknya yang bertajuk Blended -Cooperative Learning For UTM Process Control Course Using TPACK Framework.


Sebanyak 205 penyertaan diterima dari universiti awam dan swasta dan hanya menyenarai pendek sebanyak 30 orang ketua projek sebagai finalis.


Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik pada majlis penutup AKRI 2018 yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Malaysia pada 13 Disember 2018.


Dengan kemenangan ini membuktikan kualiti pengajaran pensyarah UTM adalah antara yang terbaik sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.


Dr Adibah (dua dari kanan) menerima anugerah dari YB Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik
Dr. Adibah Abdul Latif bersama trofi kemenangan
Prof. Madya Fatimah Puteh menerima anugerah dari YB Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik
Prof. Madya Ir. Dr. Haslenda menerima anugerah dari YB Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik
Prof. Madya Ir. Dr. Haslenda (kanan) bersama trofi kemenangan

UTM bergambar kenangn bersama Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Pemenang bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar (tiga dari kiri)


Norlida Ishak Shop