Expired : 18.06.18

Kementerian Kesihatan rampas produk tradisional Cina RM7.4 juta


BANGI, 8 Jamadilawal 1440H, Isnin – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) merampas pelbagai jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta di Sarawak.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan produk berkenaan adalah hasil daripada saringan pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching dan seterusnya membawa kepada satu serbuan di gudang penyimpanan di Kuching pada 8 Januari lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan lebih 100,000 kotak produk tidak berdaftar, antaranya Ginseng Kianpi Pill; Tou Gubao Pil Reumastisme; Niao Suan Wan Pil Urik Asid; serta Tian Ma Tu Chung Seven Leaves Ginseng.


Selain itu, Qu Fu Su Wei Lin Dan; Tong Mai Dan; Jiang Chun Yi Suan Wan; Ke Ong; Samyun Wan 20 Capsule; High Strength Samyun Wan 20 Capsule; dan Kotak Kuning bertulisan Cina Bewarna Merah dan Emas, turut dirampas.


“Semua produk ini dipercayai didalangi sindiket dan dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak. KKM sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua pihak terbabit dalam sindiket ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.


“Individu atau syarikat yang didapati terbabit menjual produk berkenaan akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.


Lebih 100,000 kotak produk tidak berdaftar dirampas.

“Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam kenyataan sama, KKM turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok produk berkenaan agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya serta-merta kerana produk itu tidak terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.


“KKM juga menyarankan orang ramai untuk menyemak status pendaftaran sebelum membeli sesuatu produk kesihatan. Produk kesihatan berdaftar boleh dikenalpasti dengan meneliti ciri-ciri seperti nombor pendaftaran MAL serta label Hologram Meditag pada pembungkusannya.


“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kesihatan serta testimoni pengguna yang membuat tuntutan yang tidak munasabah,” katanya.


Selain itu, KKM berkata, orang ramai dan pihak media juga digalakkan untuk melapor serta menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan bagi membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.


“Laporan dan maklumat itu boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my.


“Selain itu, kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi berdekatan atau melalui talian 03-78413200,” katanya.



The post Kementerian Kesihatan rampas produk tradisional Cina RM7.4 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop