Expired : 18.06.18

Kenapa masih berkongres jika ada kuasa martabat Melayu?

BANGI, 6 Safar 1441H, Sabtu – Penganjuran Kongres Maruah Melayu (KMM) dilihat sebagai satu bukti yang mengesahkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mengurus kepentingan Melayu sejak memerintah negara. 


Sepatutnya, tajuk kongres ialah ‘Kongres Kejayaan Melayu di bawah Kerajaan PH’, tetapi Kerajaan PH sendiri gagal menjaga kepentingan Melayu, demikian kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. 


“Bayangkan, mereka terpaksa mendesak kerajaan mereka sendiri. Sepatutnya bila sudah ada kuasa lakukan usaha memartabatkan kedudukan Melayu. 


“Tidak perlu kongres untuk tujuan itu kerana rakyat sudah memberi mandat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Kongres Maruah Melayu difahamkan mahu diadakan dalam usaha mencari penyelesaian bagi memperbaiki kedudukan dan maruah Melayu.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengesahkan kehadirannya ke kongres berkenaan sebagai pemimpin Melayu, dan bukannya sebagai perdana menteri serta akan memberikan amanatnya.


Mengulas lanjut, Shamsul berkata, sangat jelas bahawa walaupun kuasa pemerintahan berada di tangan pemimpin Melayu, namun kerajaan PH telah pun gagal. 


Situasi ini, katanya, mungkin disebabkan oleh parti tamak haloba, DAP yang lebih berkuasa daripada parti dan pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH. 


“Ini semua antara punca menyebabkan pelbagai kerosakan dan kerugian Melayu berlaku di bawah Kerajaan PH,” katanya.


Kecewa dengan nasib Melayu, beliau menggesa PH yang memegang tampuk pemerintahan ketika ini supaya melakukan yang lebih baik dan berhenti menyalahkan kerajaan sebelumnya.


“Gunalah kuasa yang ada. Naratif menyalahkan Kerajaan BN tidak lupa mereka lakukan. Ini bukan masanya menyalahkan kerajaan lalu. Rakyat mahu kerajaan PH bukti, PH lebih baik daripada dahulu,” katanya.


Bagi menyatakan keseriusan dalam membela nasib Melayu, beliau menegaskan bahawa UMNO akan hadir dan menghantar wakil ke KMM.


“Kehadiran kita bukan bermaksud UMNO menyokong parti politik dalam kerajaan PH dan pendirian ini sangat jelas. Hadir, demi Melayu dan menghormati mereka yang menghantar jemputan, walaupun semasa Himpunan Penyatuan Ummah #hpu914, UMNO juga menjemput mereka, tetapi mereka diam seribu bahasa dan tidak menyambut jemputan yang diberikan.


“Hakikatnya, paling utama orang Melayu mahu pembelaan. Kepada Kerajaan PH, ini bukan masa berkongres lagi. Kedudukan Islam, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sebagainya mesti dibela secara bersungguh. 


“Kini masa bertindak, sekadar kongres dan kemudian habis begitu sahaja, ia tiada makna bagi orang Melayu,” katanya.


The post Kenapa masih berkongres jika ada kuasa martabat Melayu? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop