Expired : 18.06.18

Kenderaan Mitsubishi Storm tenggelam di Sungai Terengganu dinaikkan pagi tadi


KUALA TERENGGANU, 4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu –  Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu hari ini berjaya menaikkan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm, yang menggelongsor ke dalam Sungai Terengganu, di Pulau Warisan malam tadi.


Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, terdahulu kenderaan itu yang tenggelam sedalam 30 kaki (9.41 meter) diapungkan ke permukaan sungai kira-kira jam 10.05 pagi tadi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


“Kenderaan berjaya kita bawa naik menggunakan kaedah ‘lifting’ dengan peralatan Vehicle Recovery System (VRS) 2000 selepas usaha menaikkan kenderaan itu dimulakan pada jam 8 pagi tadi.


“Menerusi kaedah itu, kita letakkan pelampung di bawah kenderaan itu dan setelah terapung kita bawa ia ke tepi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.


Bagaimanapun, katanya, seorang mangsa yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan empat beranak dalam kejadian kereta terjunam itu, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, masih belum ditemukan hingga kini.


“Radius pencarian meliputi 200 kaki (60.96 meter) dari lokasi lemas dengan menggunakan dua kaedah iaitu pencarian di permukaan dan selaman.


“Untuk meluaskan pencarian mangsa, dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan tali. Kawasan muara sungai ini mempunyai banyak lumpur dan batuan mungkin akibat kesan tambakan,” katanya.


Menurut Azlimin, pihaknya turut meningkatkan keanggotaan penyelam daripada 10 orang pagi ini dan akan memanggil 50 orang lagi penyelam bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat itu.


“Operasi PPDA agak terbatas dari segi kecepatan berbanding dengan operasi di darat kerana wujud unsur kepenatan yang lebih cepat jadi cara paling bagus adalah dengan menambah keanggotaan.


“Disebabkan arus tidak terlalu kuat, kita rasa perlu buat pencarian dengan lebih cepat supaya lebih mudah kerana berkemungkinan pada sebelah petang nanti arus akan lebih kuat,” katanya.


Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.


Selain beliau, empat lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamatkan empat beranak di dalam kereta terbabit. – Bernama


VIDEO | Pacuan empat roda terjunam ke Sungai Terengganu


The post Kenderaan Mitsubishi Storm tenggelam di Sungai Terengganu dinaikkan pagi tadi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop