Expired : 18.06.18

‘Kepala’ Firaun dilelong AS$6 juta

Firaun Tutankhamun Mesir

BRITAIN, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – ‘Kepala’ Firaun Tutankhamun diperbuat daripada batu kuarza berusia 3,000 tahun, dilelong pada harga AS$6 juta di United Kingdom, semalam, walaupun Kaherah membantah dan mendakwa patung itu dibawa keluar dari Mesir secara haram.


Firma lelong Christie menjual objek masa lampau yang tidak lengkap itu pada harga 4.7 juta pound (AS$5.97 juta), pada salah satu lelongan paling kontroversi tahun ini.


Bagaimanapun, tidak ada maklumat mengenai pembeli diumumkan.


Tutankhamun dikatakan menjadi Firaun pada usia sembilan tahun dan meninggal dunia kira-kira 10 tahun kemudian. Wajahnya yang terkenal itu memperlihatkan raja mengambil bentuk tuhan Mesir purba Amen.


Mengalami kerosakan pada telinga dan hidung, relik itu adalah simpanan peribadi Koleksi Resandro mengenai artifak dan lukisan Mesir, firma berkenaan.


Sebelum itu, Kaherah meminta lelongan berkenaan dibatalkan dan ‘kepala’ Firaun berkenaan dikembalikan kepada Mesir.


Kaherah meminta Pejabat Luar dan Komanwel United Kingdom serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk masuk campur, sambil mendakwa relik itu dibawa keluar dari Mesir secara haram.


Puluhan penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Mesir yang membawa sepanduk menggesa dihentikan perdagangan barangan antik dan ‘sejarah Mesir bukan untuk dijual’ berkumpul di luar pejabat lelongan di London.


Firaun Tutankhamun
Tutankhamun adalah antara Firaun paling terkenal dalam sejarah Mesir purba. – Gambar fail Reuters

Menyifatkan serpihan ‘kepala’ Tutankhamun itu sebagai objek yang jarang diperoleh dan cantik, Christie mengakui terdapat kontroversi melingkari lelongan berkenaan.


“Kami menyedari bahawa objek bersejarah dapat menimbulkan perbincangan yang kompleks mengenai masa lalu, tetapi peranan kami hari ini adalah terus berusaha melakukannya secara telus dan sah serta meletakkan piawaian tertinggi untuk objek berkenaan,” kata firma itu


Setiausaha Agung Majlis Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri berkata, beliau kecewa kerana lelongan itu diteruskan walaupun terdapat bantahan rasmi daripada kerajaannya menerusi kedutaan di London.


“Saya percaya bahan purba itu dibawa keluar dari Mesir secara haram. Mereka tidak menunjukkan apa-apa dokumen bagi membuktikan ia dibawa secara sah,” katanya kepada Reuters.


Beliau berkata, kerajaan Mesir akan terus memberi tekanan kepada pembeli supaya relik itu dikembalikan kepada mereka.


Bekas menteri dan personaliti TV Mesir, Zahi Hawass memberitahu AFP bahawa ‘kepala’ Firaun itu ‘dicuri’ dari Kuil Karnak yang terletak di utara Luxor bersama beberapa artifak lain pada 1970-an.


Bagaimanapun, firma lelongan itu berkata, mereka akan menunjukkan bukti bahawa penjualan itu adalah sah.


Christie berkata, mereka telah berhubung dengan pihak berkuasa Mesir di Kaherah dan kedutaan di London dan negara itu tidak pernah menyatakan keprihatinan mengenai sesuatu barang yang kewujudannya telah ‘terkenal dan dipamerkan secara terbuka’ selama bertahun-tahun.


Firma itu turut menyiarkan kronologi bagaimana artifak berkenaan berpindah tangan di kalangan pengumpul barang dan lukisan di Eropah sejak lebih 50 tahun lalu. – Agensi


The post ‘Kepala’ Firaun dilelong AS$6 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop