Expired : 18.06.18

Kepalsuan sya’ir ‘Ulama Kita’ mengenai COVID-19

SEJAK beberapa hari ini telah beredar di dalam pelbagai aplikasi Media Sosial satu “Sya’ir” yang kononnya telah meramalkan tentang kemunculan Covid-19 sejak 1,000 tahun dahulu menerusi sebuah kitab bertajuk Aza’imu Duhur karangan Abi Ali Addabiziri tahun 565M.


Untuk pengetahuan para pembaca semua, rangkap Sya’ir itu adalah satu pembohongan dan kepalsuan!


Saya telah menanyakan tentang Syair tersebut kepada seorang kenalan dari Iraq. Beliau mengatakan bahawa Sya’ir tersebut asalnya disebut oleh seorang penganalisa politik (Syiah) dalam satu rancangan temubual di televisyen. (Minta maaf, saya tidak ada sumber temubual berkenaan).


Penganalisa Syi’ah tersebut menyatakan bahawa Sya’ir tentang ramalan Covid-19 telahpun diungkapkan oleh Saidina ‘Ali Bin Abu Talib (Radhiyallahu ‘anhu) di dalam kitab Nahjul Balaghah. Kononnya Nahjul Balaghah telah ditahqiqkan (verified) oleh seorang pemikir dan pemimpin umat Islam yang terkenal di Mesir iaitu Syaikh Muhammad ‘Abduh (Rahimullah Ta’ala).


Dan semua orang maklum bahawa kitab Nahjul Balaghah menduduki tempat yang sangat istimewa dan tinggi di kalangan penganut-penganut agama Syi’ah.


Maknanya, Saidina ‘Ali telah ‘meramalkan’ kemunculan wabak COVID-19 ini sejak 1000 tahun dahulu.


Benarkah demikian?


Jawapannya; TIDAK!


Pertama, kitab Nahjul Balaghah BUKAN tulisan atau karangan Saidina ‘Ali Bin Abu Talib (Radhiyallahu ‘anhu). Ia hanyalah satu susunan ucapan, kenyataan dan khutbah yang dinisbahkan kepada beliau. [Saya tidak akan mengulas tentang kitab ini di sini].


Kedua, dan ini yang lebih penting, kesahihan Sya’ir tersebut yang dinisbahkan kepada Saidina ‘Ali Bin Abu Talib (Radhiyallahu ‘anhu) telah ditolak oleh orang Syi’ah sendiri!


Berikut adalah satu capaian YouTube di dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh seorang tokoh Syi’ah bernama Syaikh ‘Aqil Hamdani di mana beliau telah menolak dan menafikan bahawa Sya’ir tersebut berasal dari kitab Nahjul Balaghah apatah lagi diungkapkan oleh Saidina ‘Ali Bin Abu Talib (Radhiyallahu ‘anhu).



Para pembaca yang fasih berbahasa ‘Arab bolehlah menelirti sendiri hujah beliau dan dipersilakan untuk memberi komen di sini.


NOTA: Saya ingin menegaskan di sini bahawa rujukan saya kepada kenyataan tokoh Syi’ah di atas bukan bermakna saya menyokong agama Syi’ah atau Thiqah (percaya) kepada mereka. Syi’ah tetap satu satu kesesatan yang umat islam semua perlu jauhi dan lawan. Ia adalah satu ‘agama’ yang pekat dengan warisan Majusi Parsi yang tetap merupakan satu ancaman terhadap Islam dan umatnya.


Saya memetik pernyataan Syaikh di atas hanya untuk menunjukkan bahawa orang Syi’ah sendiri tidak menerima sya’ir tersebut sebagai satu kebenaran atau tidak dipertikaikan kesahihannya. Racun dan bisa Syi’ah tidak kurang merbahaya kepada umat Islam daripada wabak Covid-19 ini, malah ia merupakan musuh yang sangat merbahaya kepada agama Islam.]


Berbalik kepada isu Sya’ir di atas, saya hairan mengapa umat Islam di negara kita sangat gemar dan cepat percaya kepada sesuatu berita yang belum dipastikan kesahihannya terlebih dahulu?


Fenomena ini sangat lumrah di dalam Media Sosial (MedSos) hari ini dan telah menjadi seolah-olah satu “pegangan” sejak masyarakat dibanjiri dengan gajet dan MedSos. Pantang sahaja timbul satu berita, kejadian, petikan, peristiwa, secrrenshot dan seumpamanya, umat hari ini segera bertukar menjadi ‘wartawan-wartawan jadian’ yang bertebaran di dunia maya.


Keadaan menjadi lebih parah apabila umat islam sangat ghairah dan bersemangat berkongsi (share/forward) petikan-petikan yang bernada “keagamaan” dan ‘keajaiban-keajaiban’ yang dinisbahkan kepada Islam, tetapi sebenarnya membawa kepada kesesatan tanpa kita sedari.


Akibatnya, kita menjadi punca tersebarnya kesesatan, kepalsuan, fitnah, bid’ah, tahayyul, khurafat dan penipuan di kalangan saudara mara, kaum keluarga, teman-teman, ahli kariah masjid dan surau dan masyarakat seluruhnya!


Kita sudah menjadi bangsa dan umat yang malaskah?


Di saat manusia di Barat mula mencari penyelesian secara Islam tentang bagaimana untuk menangani wabak dan ancaman COVID-19 ini, kita masih sibuk dan ‘ikhlas’ untuk berkongsi dan menyebarkan ‘kebaikan’ yang isinya adalah kebatilan dan kepalsuan semata-mata.


Kita sudah melupakan identiti diri kita sendiri dan melemparkan corak berfikir yang menjadi kebanggaan manusia dan diirihati oleh dunia seluruhnya satu masa dahulu – yakni peranan sebagai umat yang membawa risalah, yang meletakkan pencarian bersungguh-sungguh kepada ilmu pengetahuan sebaris dengan ketinggian ’ibadah kepada Allah.


Kita berpegang pada sebab akibat dan kepada peraturan alam tabi’i (ciptaan Allah) tetapi pada waktu yang sama tidak meninggalkan ikhtiar, kesungguhan untuk mencari penawar COVID-19. Kita tidak mengesampingkan hikmah dan iktibar yang kita perlu ambil daripadanya atau menolak usaha insan berbekalkan ilmu pengetahuan untuk mengatasi, melawan dan menghapuskannya.


Senario umat yang jahil dan para ulamak yang lesu bukan ciri-ciri yang sepatutnya ditonjolkan sekarang ini.


Muhammad Luttfi Abdul Khalid

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.


The post Kepalsuan sya’ir ‘Ulama Kita’ mengenai COVID-19 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.