Expired : 18.06.18

Kepimpinan Kerajaan PH Caca Marba Buat Rakyat Hilang Kepercayaan, Muafakat Nasional Tawaran Baru

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Naib PResiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, kepimpinan caca marba kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) membuatkan rakyat mula tidak mempercayai mereka.


Namun jelas beliau, ini bukan bermakna rakyat secara automatik menyokong penyatuan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional tetapi inilah masanya Muafakat Nasional membentangkan tawaran-tawaran baru kepada rakyat agar mereka boleh membuat pilihan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.


“Apa yang ada hari ini membuatkan rakyat tidak mempercayai kerajaan yang dipimpin oleh PH. Soal menanam harapan yang tidak menjadi, mungkir janji dan sebagai satu kerajaan yang berdolak-dalik apatah lagi keadaan masyarakat sekarang yang berlaku jurang sangat besar, tidak ada dasar-dasar untuk mengatasinya… ini semua menjadi asas rakyat menolak PH.



“Tapi ini tidak bermakna secara autumatik UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasinal akan disokong oleh rakyat, maka UMNO dan PAS perlu memberi fokus kepada tawaran-tawaran yang boleh diberikan kepada rakyat supaya dapat ditunjukkan ia adalah satu alternatif kepada kerajaan sedia ada.


“Rakyat perlu jelas siapa kita? Perlu difahami oleh semua, kita bukan mahu menjadi kerajaan bersendirian. Kita terima hakikat nak jadi kerajaan mesti dapat sokongan semua kaum dan bangsa. Berdasarkan kepada itu, melalui Muafakat Nasional, kita mengajak kepada satu gerakan melibatkan perbincangan kerjasama semua pihak agar menjadi satu tempat yang boleh mencari titik pertemuan yang boleh diterima secara bersama,” jelas beliau ketika menjadi panel dalam Wacana Ilmu Anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang membahaskan isu ‘Muafakat Nasional: Antara Impian dan Harapan’ malam tadi.



Tambah beliau, terdapat banyak perkara yang boleh dilihat dan dijadikan sebagai satu tawaran baru kepada rakyat seperti soal hak asasi kebebasan dan sebagainya.


“Ini semua mesti ada persepakatan dan persefahaman antara semua pihak, kerana itu UMNO dan PAS sedang meneliti pelbagai perkara dan akhirnya kita akan adakan seminar Muafakat Nasional tetapi apa yang penting secara asasnya, kerajaan yang hendak kita bentuk melalui penyatuan ummah ini adalah meletakkan kembali kedudukan orang Melayu dalam negara ini sebagai teras,” tegas beliau.


Jelas Khaled, penyatuan ummah yang terlebih dahulu dilaksanakan adalah sebagai tanda penyatuan kedua-dua parti Islam terbesar di negara ini sekaligus menamatkan persengketaan dan permusuhan sekian lama.


Namun menyedari penyatuan ummah ini tidak memadai berdasarkan kemajmukan dalam negara maka terbentuklah Muafakat Nasional.


“Kita sedar setakat penyatuan ummah ini tidak cukup. Kita mahu tunjukkan bahawa kerjasama melalui penyatuan ummah adalah bertujuan bersikap rasional dan sederhana, toleransi dan menerima hakikat kewujudan kaum lain dalam negara ini.


“Kita memilih piagam berasaskan Muafakat Nasional bukan sahaja merujuk kepada kerjasama politik tetapi yang hendak kita tunjukkan adalah membawa dan menjemput seramai mungkin rakyat, bukan sahaja Melayu Islam tetapi semua bangsa untuk bersama melakukan dan mencari perkara yang boleh menjadi titik persamaan muafakat,” ujar beliau.



Bagi Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa yang turut menjadi panel berkata, Muafakat Nasional adalah satu permulaan dari perjalanan yang jauh.


“Kita baru bermula… 14 September adalah permulaan yang sangat cantik dan baik malah ia menjadi sejarah paling hebat dalam politik Malaysia.


“Komen yang mengatakan piagam ini kosong, tidak ada apa-apa… kita biarkan sahaja kerana kita baru nak mula. Muafakat Nasional ini bukan sekadar politik tetapi jauh dari itu. Jika kita baca di akhir piagam ini ada menyebut, menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama menyokong piagam ini untuk Malaysia yang sejahtera.


“… maka kita akan dapat berfikir bahawa muafakat ini sangat baik. Benda yang baik dan cantik kenapa nak ditolak,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop