Expired : 18.06.18

Kepimpinan Penyelidikan Kanser: Di Mana Kita?

Oleh: Razinah Mohd Sharif,
Timbalan Pengerusi, Kumpulan Kerja Jangkauan Sains, YSN-ASM
Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE)/Program Sains Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Artikel ini merungkai pengalaman penulis yang terlibat dalam penyelidikan pencegahan kanser semasa menghadiri Bengkel anjuran TWAS Young Affiliates Network (TYAN) dan Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) bertajuk “Bridging the Gap, Fostering Leadership in Cancer Research”.


Selang beberapa bulan lepas, penulis dihujani dengan e-mail jemputan oleh Prof. Dr. Cheong Sok Ching daripada Cancer Research Malaysia (CRM) untuk menyertai sebuah bengkel penyelidikan kanser yang melibatkan beberapa peserta dari pelbagai benua. Pada mulanya, penulis rasa keberatan untuk turut serta memandangkan tema bengkel berkisar sekitar kanser, genomik serta teknologi digital. Namun atas dasar ingin tahu, penulis mengisi soal selidik penyertaan bengkel yang merangkumi pelbagai esei dan soalan berstruktur berkenaan pengalaman penulis dalam bidang kanser dan penyelidikan penulis telah dijawab semasa pendaftaran. Lantaran itu, penulis merasakan, mungkin tidak ada peluang memandangkan setiap soalan yang ditanya adalah begitu sukar untuk dijawab.



Namun, jangkaan penulis meleset sama sekali apabila terpilih sebagai salah seorang peserta bengkel. Pelbagai e-mail lanjutan diberikan oleh pihak penganjur. Nah! Memang serius bengkel ini. Poster perlu disediakan berdasarkan kajian penyelidikan terkini dan perlu dibentangkan sewaktu bengkel kelak yang mengambil tempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).


Hari Pertama (30 Oktober 2018)


Pendaftaran bermula agak pantas dan tanpa sebarang masalah kerana bilangan peserta hanyalah sekitar 50 orang sahaja. Bengkel yang agak kecil namun padat dengan pelbagai aktiviti tampak menarik dab berfokus. Rata-rata peserta adalah penyelidik daripada Malaysia dan juga antarabangsa. Bengkel bermula dengan taklimat awal dari Prof. Dr. Cheong Sok Ching yang memperkenalkan kepada peserta mengenai TYAN dan YSN-ASM serta bagaimana terhasilnya idea untuk bengkel ini, yang melibatkan gandingan pelbagai agensi seperti Cancer Research Malaysia, Akademi Kepimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia, Akademi Sains Malaysia, Akademi Sains China dan Suruhanjaya Tinggi British. TYAN mewakili saintis muda dari seluruh pelusuk dunia dari pelbagai bidang merangkumi teknologi tenaga, kanser, nanoteknologi, neurosains dan sebagainya bersatu bagi membantu penyelidik seluruh dunia dalam mengatasi masalah dan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Developmental Goals; SDG). Manakala, YSN-ASM pula mewakili saintis muda dari seluruh Malaysia yang menggerakkan sains dari pelbagai bidang ke arah Malaysia yang lebih progresif.


Prof. Dr. Cheong Sok Ching (Cancer Research Malaysia) memberi taklimat pada hari pertama bengkel

Bengkel dimulakan dengan aktiviti pertama yang merungkai penggunaan ubatan lain bagi mengatasi masalah kanser (Repurposing of Drug) oleh Prof. Dr. Sanjeev Krishna dari United Kingdom. Topik diketengahkan ini teramatlah menarik, kerana beliau menggunakan ubat yang lazim digunakan bagi merawat penyakit malaria sebagai penawar kanser. Idea ini tentunya tidak terfikir oleh penyelidik di sini kerana strategi dan idea yang diketengahkan beliau sesungguhnya begitu berani, memberi nafas baru kepada pendekatan sedia ada dan tampak mempunyai potensi dalam perawatan kanser. Pelbagai tajuk menarik dibincangkan pada hari pertama, iaitu penggunaan sel stem dalam penyelidikan kanser oleh Prof. Dr. Wassim Abou Kheir (Beirut, Lebanon), metabolisma kanser oleh Prof. Dr. Patricia Zancan (Brazil) dan rintangan kepada rawatan kanser oleh Prof. Dr. Yusuf Baran (Turki). Penyelidik muda Malaysia, Dr. Chern Ein Oon dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi penyelidikan beliau tentang sasaran baharu dalam rawatan kanser serta Prof. Dr. Chee Onn Leong daripada International Medical University (IMU) membincangkan tentang penggunakan teknologi genetik dan bioinformatik dalam penyelidikan kanser. Bertemakan penemuan perubatan terkini, slot pertama berjaya memaparkan kepelbagaian penyelidikan berkenaan kanser di serata dunia.



Peserta khusyuk mendengar pembentangan oleh Prof. Dr. Sanjeev Krishna (St George’s, University of London)

Perbincangan Poster & Kumpulan


Aktiviti seterusnya adalah sesi pembentangan poster yang begitu menarik kerana peserta bengkel diberi masa selama hampir dua jam untuk perbincangan sesama ahli bengkel berkenaan poster yang dibentangkan. Situasi ini membolehkan jaringan dilakukan dan kerjasama terjalin. Pelbagai idea menarik dibincangkan merangkumi batasan dan idea dalam pembangunan dan halatuju dalam aktiviti penyelidikan terkini.


Setiap peserta dibahagikan kepada kumpulan tertentu di bawah naungan seorang fasilitator daripada TYAN. Perbincangan aktif, diketuai oleh Dr. Chau De Ming (UPM), dimulakan dengan pelbagai persoalan berkenaan cabaran dan batasan dalam penyelidikan berkaitan kanser. Penyelesaian turut dibincangkan, samada melalui perkongsian pengalaman daripada penyelidik lain bagi mengatasi masalah yang telah dikenalpasti. Setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan dan saya amat tertarik dengan pembentangan daripada Dr. Rozilawati Ahmad (UKM). Beliau mengakhiri pembentangan dengan paparan statistik daripada MyScan 2018 yang menunjukkan kadar peratusan pesakit kanser di Malaysia yang pulih adalah sangat rendah berbanding kadar peratusan di negara luar. Beliau juga melemparkan persoalan kepada penyelidik lain tentang masalah kanser limfoma yang sepatutnya mampu untuk dipulihkan di Malaysia, namun realitinya banyak kes kematian dilaporkan akibat kanser limfoma, termasuk seorang kenalan beliau. Pembentangan beliau sepastinya amat menyentuh hati kami dan menyebabkan ramai peserta pulang dengan perasaan sebak pada petang tersebut.


Hari Kedua (31 Oktober 2018)


Seperti hari pertama, pengisian bengkel bermula dengan kuliah pendek dari pelbagai penyelidik dalam dan luar negara. Bertemakan teknologi digital, pengisian tertumpu kepada perkongsian ilmu dan pengalaman mengenai bagaimana penggunaan teknologi digital dapat membantu dalam penyelidikan kanser. Pembentangan poster diteruskan lagi pada hari kedua dan juga perbincangan kumpulan dipenuhi dengan pelbagai soalan menarik. Antara pembentangan menarik pada hari kedua adalah dari Prof. Dr. Cheong Sok Ching mengenai pembangunan aplikasi telefon pintar yang dapat mengesan kanser mulut pada peringkat lebih awal lagi. Aplikasi telefon pintar ini dapat digunakan oleh doktor dan jururawat terutamanya untuk pengguna di luar bandar bagi tujuan pengesanan kanser mulut dengan menggunakan pengecaman imej dan kecerdasan buatan untuk melakukan ramalan. Pembangunan aplikasi telefon pintar ini melibatkan kerjasama dengan pelbagai institut penyelidikan, termasuk Cancer Research Malaysia, Universiti Malaya dan Britain’s Kingston University yang tampak sedang membuahkan hasil.


Hari Ketiga (1 November 2018)


Pada hari ketiga, bengkel beralih kepada topik pentadbiran dan pengurusan penyelidikan kanser. Pelbagai intipati menarik diberikan oleh Prof. Dr. Raha Hj Abd Rahim (Pengarah, Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT, Kementerian Pendidikan Malaysia) dan Prof. Dr. Hj. Mohd Ekhwan Hj Toriman (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi, UKM). Bengkel disusuli dengan dialog melibatkan pelbagai panelis tersohor dalam bidang penyelidikan kanser, termasuk Prof. Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam, yang merupakan Pengerusi YSN-ASM dan lima lagi panelis dari dalam dan luar negara. Pelbagai soalan menarik dilemparkan oleh moderator (Prof. Dr. Cheong Sok Ching) dan dijawab oleh para panelis. Antara kupasan terbaik daripada Prof. Dr. Abhi adalah bagaimana kita sewajarnya harus lebih fleksibel sebagai saintis yang ingin terus maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan masing-masing. Kupasan menarik selama hampir 2 jam tidak dirasakan dan lawatan ke Cancer Research Malaysia (CRM) yang bertempat di Subang Jaya merupakan aktiviti penutup bengkel. CRM merupakan sebuah pusat penyelidikan tersohor di Malaysia yang tertumpu kepada kanser, terutamanya kanser mulut dan leher dan kanser payudara. Pelbagai penyelidikan terkini dijalankan dengan teknologi yang canggih dan terkehadapan di CRM.


Peserta-peserta bengkel bersama panelis forum, terdiri daripada Prof. Dr. Abhimanyu (Sunway University) dan Prof. Dr. Ekhwan Toriman (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UKM)

Kesimpulan


Penulis amat tertarik dengan pengisian dan perkongsian ilmu serta pengalaman berkaitan penyelidikan kanser sepanjang bengkel. Kaedah perbincangan aktif terutamanya ketika pembentangan poster dan sesi perbincangan kumpulan juga menjadikan bengkel ini sangat menarik. Pelbagai jaringan kerjasama terjalin dengan penyelidik dari dalam dan luar negara menjadikan salah satu objektif utama bengkel ini berjaya dicapai. Diharapkan semoga semua penyelidik bersatu membantu dalam misi perjuangan menewaskan kanser (Stand Up Against Cancer!). Bengkel tersebut juga berjaya menaikkan semangat penulis untuk meningkatkan lagi tahap penyelidikan kanser Malaysia ke taraf lebih tinggi lagi!



446total visits,359visits today


Norlida Ishak Shop