Expired : 18.06.18

Kerajaan akan hapus halangan jalankan perniagaan di Malaysia


TOKYO, 28 Safar 1440H, Selasa – Malaysia akan menghapuskan semua halangan bagi tujuan menjalankan perniagaan di Malaysia, khususnya kepada pelabur asing dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) selain seiring pendekatan kerajaan yang mesra perniagaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Ketika memberi jaminan itu kepada kira-kira 600 peserta satu persidangan dan forum perniagaan di sini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan turut menggubal undang-undang baharu bagi kemudahan sektor swasta menjalankan perniagaan di negara ini tanpa dikekang peraturan yang bersifat penindasan.


“Anda boleh yakin dengan kerajaan ini untuk membantu kejayaan perniagaan anda. Jika anda datang berniaga di Malaysia, maka anda adalah tetamu kami. Kami bersedia meneliti masalah anda dan menyelesaikannya.


“Ini bagi membolehkan anda berasa selesa berniaga di Malaysia kerana adanya sebuah kerajaan yang juga berperanan sebagai rakan anda,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Persidangan Bersama ke-36 Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca)-Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) serta program Forum Perniagaan Malaysia di sini, hari ini.


Dr Mahathir dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun, bermula semalam.


Mengulas selanjutnya, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan memastikan undang-undang dapat ditegakkan dalam usaha melindungi perniagaan.


“Tiada sebarang diskriminasi terhadap pelabur tempatan mahupun asing dan Malaysia sentiasa dikenali kerana kebebasan menjalankan perniagaan. Kami tidaklah sehingga ke tahap yang akan menyebabkan pelabur asing mengelak daripada berkunjung ke Malaysia.


“FDI turut berperanan bagi membina semula ekonomi Malaysia. Kami akan menjadi lebih bebas, lebih mesra perniagaan dan mudah diakses untuk ahli perniagaan tempatan atau pun asing,” katanya.


Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan akan mendapati kerajaan Malaysia sedia membantu kejayaan perniagaan mereka.


“Alasan mengapa kerajaan mesra perniagaan dan bersedia membantu pengusaha terbabit adalah kerana hanya perniagaan boleh menjana kekayaan…dan kerajaan tidak mungkin dapat mewujudkan kekayaan secara sendirian,” katanya.


Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan dalam teknologi tinggi dan industri berasaskan teknologi maklumat yang diyakininya dapat melonjakkan lagi kedudukan negara ini.


“Saya berharap Jameca akan memberi semula tumpuan kepada Malaysia…Malaysia menunggu untuk menjadi pusat menjana keuntungan anda. Saya berjanji bahawa kerajaan akan melihat anda sebagai tetamu yang harus dilayan baik oleh kami selaku tuan rumah,” katanya.


Mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat, Perdana Menteri optimis ia mampu mengurangkan masalah kewangan Malaysia.


“Apa yang mengejutkan ramai, walaupun berdepan kekangan kewangan, kami dapat mengetengahkan satu belanjawan yang meningkat sedikit dengan defisit pada 3.7 peratus. Kami boleh menangani defisit itu.


“Walaupun dihimpit masalah, kami berupaya membina semula ekonomi dan pentadbiran negara serta yakin untuk terus meningkatkannya.


“Kami juga yakin dapat mentadbir negara ini dengan cara yang dapat diterima oleh rakyat asing yang mempunyai kepentingan di Malaysia,” katanya. – Bernama


The post Kerajaan akan hapus halangan jalankan perniagaan di Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop