Expired : 18.06.18

Kerajaan belum ada langkah paksa wajib vaksin


BANGI, 30 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Kerajaan ketika ini tidak mempunyai langkah untuk memaksa ibu bapa mengambil vaksin untuk anak-anak mereka.


Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka digalakkan untuk melindungi bayi dan kanak-kanak terbabit daripada sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.


“Kita memang menggalakkan (tetapi), kita tidak ada langkah untuk memaksa. Itu pilihan ibu bapa, namun kita mengesyorkan lindungi anak mereka daripada sebarang perkara yang mungkin berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas penyerahan Kad Orang Kurang Upaya (OKU) baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di Putrajaya, hari ini.


Pada masa sama, Dr Wan Azizah yang dipetik Utusan Online berkata, kerajaan masih berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Menteri Kesihatan langkah bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa untuk mengambil vaksin kepada anak mereka.


Beliau turut meminta agar ibu bapa tidak terpengaruh dengan masalah anekdotal misalnya vaksin dikaitkan dengan autisme kerana berdasarkan bukti, ia mencegah penyakit.


Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapat akses pendidikan, walaupun tidak mengambil vaksin.


“Isu vaksin adalah isu Kementerian Kesihatan. Manakala di pihak KPM pula, kita berpendapat semua anak warganegara mempunyai hak dan perlu diberikan akses pendidikan tanpa diskriminasi,” katanya.


The post Kerajaan belum ada langkah paksa wajib vaksin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop