Expired : 18.06.18

Kerajaan diminta perhalusi kaedah bantuan orang asli


CAMERON HIGHLANDS, 8 Muharram 1441H, Ahad – Sifat berjiwa rakyat dan penyayang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah hari ini apabila berkenan mencemar duli melawat perkampungan orang asli Sungai Ruil di sini.


Ketibaan Seri Paduka, yang begitu dekat di hati penduduk Sungai Ruil, tepat jam 11 pagi disambut kira-kira 500 orang dengan penuh kegembiraan dan keterujaan kerana buat julung kalinya dapat bertemu Al-Sultan Abdullah selepas ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan ke-16.


Dalam titah bersahaja tetapi penuh pesanan dan nasihat, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi serta memperkemas kaedah membantu masyarakat orang asli serta golongan miskin supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan dalam jangka masa panjang.


“Kalau saya perhatikan dahulu kerajaan ada konsep Felda yang banyak memberi manfaat dan menolong orang susah. Saya harap konsep ini dapat diperkemas, diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum orang asli serta masyarakat miskin supaya diadakan sumber jangka panjang untuk anak cucu mereka.


“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan dibincangkan untuk kaji semula kerana saya minta setiap rakyat dibela dan diberi peluang tambah pendapatan dan kekayaan,” titah Al-Sultan Abdullah.


Selain itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru masyarakat orang asli supaya memaklumkan kepada kerajaan sebarang keperluan mereka agar penyediaan serta penyaluran bantuan yang ada dapat dikemas.


“Bukan kerajaan tak sediakan, tetapi ada orang asli sendiri yang tidak mahu berhijrah, mereka lebih suka dan selesa tinggal bersama dengan kaum dia, di tempat dia,” titah Seri Paduka.


Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk Sungai Ruil, yang kini mendiami rumah baharu dan moden, supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit terutama membabitkan kanak-kanak.


“Macam mana keadaan rumah? Bagus? Semua keluarga jaga rumah dengan elok, rumah batu, jangan pula ditambah kayu,” titah Al-Sultan Abdullah secara bersahaja kepada penduduk yang hadir.


Projek penempatan semula masyarakat orang asli Sungai Ruil mempunyai 152 unit rumah yang dibina susulan tanah runtuh pada 7 Ogos 2011 dan mula diduduki pada Mei 2016.


Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar penduduk pelbagai kaum dan agama di sini mengetepikan perbezaan politik serta menyelesaikan sebarang permasalahan dengan sebaik-baiknya demi memastikan kehidupan yang penuh muafakat, aman dan harmoni.


Bertitah kepada Bernama kemudiannya, Seri Paduka menzahirkan bahawa masyarakat orang asli sangat dekat di hati Al-Sultan Abdullah.


“Orang kita (orang asli) dekat dengan saya sejak generasi ke generasi. Dulu (mereka) selalu ke istana, bawa madu lebah. Sekarang kurang sikit, mungkin orang dulu dah tua, mereka pun banyak pindah duduk ke kawasan moden,”


“Saya selaku pewaris tentunya terima amanah (menjaga orang asli) dengan penuh tanggungjawab sebab itu saya harap bila ada sedikit selisih faham, selesai secara peribadi supaya tidak perlu berterusan perkara itu,” titah Yang di-Pertuan Agong.


Pada kunjungan itu, Seri Paduka turut menyampaikan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah perkampungan Sungai Ruil dan mencemar duli melawat dan meninjau rumah penduduk. – Bernama


The post Kerajaan diminta perhalusi kaedah bantuan orang asli appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop