Expired : 18.06.18

Kerajaan Harus Beri Tumpuan Tingkatkan Pengeluaran Barangan Asas Dalam Negara – Azmi

KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Ketua Penerangan UMNO  Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Hussin mengharapkan agar kerajaan meningkatkan pengeluaran barangan asas bekalan makanan dalam negara.

Katanya, walaupun negara mengeluarkan beras tempatan tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh negara dan oleh sebab itu negara mengimport beras dari luar seperti Vietnam dan Thailand.

“Namun apa akan berlaku jika keadaan wabak semakin teruk di negara pengeksport dan pengeluaran mereka berkurangan. Sudah pasti mereka akan menghentikan untuk eksport barangan tersebut kerana pengeluaran mereka terhad untuk kegunaan rakyat di negara mereka sahaja.

“Kita perlu bersedia segala macam kemungkinan. Kerajaan harus memberi keutamaan dana kepada pengeluaran barangan asas ini.

“Ini kerana kita tidak tahu sampai bilakah wabak COVID-19 ini akan berjaya diatasi di seluruh negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ujar Azmi lagi, wabak ini berlaku diseluruh dunia dan tidak tahu bilakah pengakhirannya.

“Oleh itu kita jangan terlalu bergantung kepada import…kita sendiri harus bersedia dan meningkatkan hasil barangan asas dalam negara kita,” tegasnya.- UMNO ONLINE