Expired : 18.06.18

Kerajaan jangan tunduk desakan pengusaha kelab malam


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 24 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Kerajaan Pakatan Harapan diingatkan tidak tunduk dengan desakan pengendali kelab malam yang menggesa supaya waktu operasi pusat-pusat hiburan dikaji semula.


Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Isma, Ustaz Ibrahim Hassan berkata, banyak kelab malam yang wujud di sekitar ibu kota, lebih kepada lubuk maksiat, yang jelas bertentangan dengan syarak.


“Pengusaha Kelab malam adalah golongan minoriti yang mengaut keuntungan hasil dari sumber haram. Malah, di situ bermulanya segala masalah gejala sosial yang merosakkan struktur kemasyarakatan negara.


“Itu yang terjadi apabila kepentingan minoriti dititik beratkan. Bagaimana pula dengan kepentingan syarak, mana satu yang kerajaan dahulukan,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas desakan sekumpulan pengendali kelab malam yang mahukan kerajaan mempertimbang semula waktu penutupan pusat-pusat hiburan pada jam 1 pagi.


Mereka menyifatkan, tindakan itu menyebabkan perniagaan mereka terjejas dan memberi kesan kepada ribuan pekerja, lebih-lebih lagi ramai pelanggan akan datang sekitar tengah malam.


Dalam perkara ini, Ustaz Ibrahim berkata, sebagai negara Islam, kerajaan seharusnya tidak melayan kehendak pengusaha kelab malam ini, lebih baik dirangka strategi menutup operasi pusat hiburan.


Katanya, ini selaras dengan fungsi kerajaan iaitu mendirikan agama dalam pemerintahan negara.


Pada masa sama katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa perlu memainkan peranan penting dengan lebih berkesan.


“Yang terbaik Mujahid boleh mencadangkan supaya premis kelab malam ditutup sebagai membuktikan bahawa Islam Rahmatan Lil Alamin.


“Masyarakat hanya akan mampu hidup aman sejahtera apabila syariah dilaksanakan secara menyeluruh. Penutupan Kelab malam adalah selari dengan kehendak syariah,” katanya.


 

The post Kerajaan jangan tunduk desakan pengusaha kelab malam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop