Expired : 18.06.18

Kerajaan mahu jual beberapa lagi aset negara untuk tampung hutang – Tun M

PUTRAJAYA sedang menimbang untuk menjual beberapa lagi aset kerajaan untuk meringankan beban hutang negara yang semakin meningkat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Perdana Menteri bagaimanapun berkata, aset tersebut haruslah yang telah dikenalpasti tidak memberi sumbangan kepada negara.


Pertimbangan itu kata beliau, susulan pertemuan beliau dengan pelabur dari British, apabila ada yang mengutarakan cadangan untuk membeli beberapa aset milik negara.


“Saya berminat untuk menjual beberapa aset sebagai usaha untuk meraih pendapatan.


“Hutang negara masih di kadar yang tinggi, tetapi jika kita boleh menjual aset ini, yang telah dikenalpasti tidak membawa keuntungan, kita mungkin boleh kurangkan hutang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke London pada Isnin.


Terdahulu pada hari terakhir lawatan kerja beliau, Dr Mahathir menghadiri satu dialog perniagaan bersama pelabur British anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Majlis Perniagaan United Kingdom-Asean (UKABC) dan Maybank.


Diminta mengulas lebih lanjut mengenai jenis aset yang mungkin dalam pertimbangan untuk dijual, Dr Mahathir tidak menjelaskannya, sebaliknya berkata, negara masih mempunyai aset yang banyak.


“Kita ada banyak aset… kita ada tanah, syarikat milik kerajaan, fasiliti, institusi yang dimiliki kerajaan.. dan ada di antara aset-aset ini yang sedang kita pertimbangkan,” tambahnya.


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadi sasaran kritikan ekoran aktiviti penjualan aset-aset strategik yang dianggap merugikan negara dalam jangka masa panjang.


Antaranya, rangkaian hospital IHH Berhad telah dijual oleh Khazanah kepada Jepun pada bulan November lalu dengan harga RM8.42 bilion.


Selain itu, penjualan seluruh pegangan Khazanah melalui Axiata di dalam Syarikat telco M1 juga telah dijual kepada Singapura dengan harga RM1.65 bilion.


Lebih setengah dari pegangan Khazanah dalam bank Filipina terbesar BDO Unibank Inc telah dijual kepada Filipina dengan harga RM415 juta yang juga di bawah harga pasaran.


Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga RM197 juta.


The post Kerajaan mahu jual beberapa lagi aset negara untuk tampung hutang – Tun M appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop