Expired : 18.06.18

Kerajaan PH Gagal Lucut Hak Harta UMNO Kedah Dan Habib Jewels

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk melucut hak harta membabitkan wang RM1.15 juta daripada Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels).


Wang berkenaan, yang didakwa ada kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diterima dua entiti itu daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati wang dalam akaun UMNO Kedah bukan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram manakala pembayaran diterima Habib Jewels dibuat melalui pembelian yang dilakukan dengan niat baik.


Bagi permohonan kerajaan melucut hak harta terhadap UMNO Kedah, Mohd Nazlan, dalam penghakimannya berkata wang RM1.05 juta diterima daripada parti itu tidak boleh dikatakan sebahagian daripada wang RM15 juta yang diberikan Najib pada tahun 2012 dan 2013.


Beliau menjelaskan, perlu diingatkan bahawa enam cek yang dikeluarkan Najib berjumlah RM15 juta dan dibayar dalam tempah 2012 dan 2013.


Hakim itu berkata, permohonan melucut hak harta pula membabitkan baki dalam akaun semasa responden (UMNO Kedah) yang dibekukan dan kemudian disita pada 25 Jun 2018, berjumlah RM1,054,019.22.


Katanya, bukti dalam afidavit menunjukkan bahawa daripada enam cek itu, pembayaran terakhir yang dibuat pada Jun 2013 dan baki terakhir pada 30 Jun 2013 hanya sebanyak RM1.4 juta.


“Justeru, wang RM15 juta yang didakwa itu sudah tiada dalam akaun terbabit… bakinya pula sudah berkurangan sehingga serendah RM58,000 saja pada 1 Januari 2017.


“Tambahan pula, pada empat bulan pertama 2018 saja, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), lebih daripada RM27 juta didepositkan ke dalam akaun responden membabitkan 44 transaksi dan pada tempoh sama, RM26 juta dibayar dalam 203 transaksi.


“Oleh itu, wang lebih RM1 juta baki dalam akaun responden yang hendak dilucut hak itu tidak boleh dikatakan sebahagian daripada RM15 juta yang dibayar oleh Najib,” katanya.


Bagi kes membabitkan Habib Jewels yang menerima wang RM100,000 pula, Mohd Nazlan berkata wang yang diterima daripada entiti itu bagi pembelian barangan kemas dilakukan dengan niat baik dalam maksud perniagaan biasa pihak responden.


Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak mempertikaikan pembelian itu selepas responden mengemukakan bukti dokumen seperti resit pembelian.


Dalam prosiding itu, Pendakwa Raya diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai, manakala UMNO Kedah diwakili peguam G Nadarajah dan peguam Khoo Guan Huat bertindak bagi Habib Jewels. – BH Online


Norlida Ishak Shop