Expired : 18.06.18

Kerajaan PH Tak Perlu Tergesa-Gesa Tandatangan ICERD, Kaji dan Fahami Dahulu

PASIR SALAK, 8 Nov – Sebelum apa-apa komitmen terhadap perjanjian antarabangsa ditandatangani oleh sesebuah kerajaan, kajian dan perbincangan pemahaman implikasinya perlu dibuat terlebih dahulu termasuklah dalam hasrat untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkata Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu tergesa-gesa dalam hal ini.


“Selepas itu, ianya perlukan maklumbalas dari rakyat, perbahasan di Parlimen dan akhirnya sekiranya melibatkan Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu maka perlu dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.


“Saya rasa tiada tempoh yang tergesa-gesa perlu diikat kepada penurunan tandatangan negara. Seafdalnya, sehingga semua pihak berpuas hati barulah apa-apa perjanjian atau konvensyen dimeterai,” katanya kepada UMNO-Online.



Tegas beliau yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO, adalah memalukan sekiranya tanpa meneliti dengan terperinci, kita mengundur diri dari perjanjian pada masa hadapan.


“Jika betul ianya akan mengubah dan menghakis kedudukan Melayu dan Raja-raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, maka itu saya tidak bersetuju untuk kita tandatangan perjanjian tersebut,” katanya lagi.


Dilaporkan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy pada 24 Oktober lalu berkata kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019 selaras dengan manifesto PH.


ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop