Expired : 18.06.18

Kerajaan tak pernah berhenti tunai semua janji: MB Kedah


ALOR SETAR, 4 Ramadan 1440H, Khamis – Dua belas bulan, adalah satu tempoh yang sangat singkat untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah melaksanakan semua manifestonya, namun kerajaan negeri tidak pernah berhenti berusaha untuk menunaikan semua janji-janjinya demi kesenangan rakyat.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya sentiasa memikirkan apakah inisiatif atau program-program terbaik yang dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.


“Saya dan rakan-rakan exco serta seluruh jentera kerajaan negeri faham bahawa yang penting sekarang ialah pertumbuhan ekonomi negeri, jika ekonomi rakyat dapat ditingkatkan, maka banyak masalah dapat diselesaikan.


“Tapi kita faham nak capai dan tingkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) isi rumah misalnya, ambil masa yang lama dan setahun adalah tempoh yang tidak cukup untuk lihat hasil usaha yang kita sudah lakukan dengan kerjasama Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual khas sempena setahun pentadbiran PH di Kedah, di kediaman rasminya di Sri Mentaloon di sini.


Beliau berkata, semua perancangan sedang dilaksanakan sedikit demi sedikit, tapi proses itu mengambil masa yang agak panjang dan kerajaan memohon agar rakyat memahami situasi berkenaan.


Mukhriz berkata, kerajaan negeri bagaimanapun, tidak mahu menghalang rakyat untuk membangkit dan mengingatkan pihaknya mengenai pelaksanaan manifesto kerana ia adalah hak mereka.


“Sambil-sambil itu kerajaan negeri faham masalah rakyat seperti kos sara hidup yang semakin naik dan harga barang yang tidak turun, justeru kita mohon bantuan Kerajaan Pusat dan macam-macam (bantuan) disalurkan untuk ringankan beban rakyat,” katanya.


Beliau berkata, Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) misalnya, tidak pernah dijanjikan dalam manifesto, namun ia tetap dilaksanakan setelah mengambil kira manfaat serta impak positif yang akan dirasai rakyat adalah sangat besar.


“Ada perkara yang kita nak buat sekarang untuk faedah rakyat tidak teringat semasa buat manifesto, kalau tak janji tak semestinya tak boleh buat… macam KIDA, kita tak pernah janji, tapi bila peluang timbul setelah bincang dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), kita buat walaupun tidak ada dalam manifesto,” katanya.


Sementara itu, sebagai negeri yang kurang sumber pendapatan dan mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada Kerajaan Pusat, Mukhriz berkata, ia tidak menjadi masalah kerana kerajaan hari ini tidak seperti sebelum ini.


Mukhriz berkata, kerajaan PH dilihat lebih terbuka dan tidak mempunyai contoh yang tetap dan Kerajaan Pusat sentiasa sudi mendengar apa juga permintaan daripada pihak kerajaan negeri.


“Kadang-kadang dia (Kerajaan Pusat) terima dan jika tidak (ia disokong) dengan hujah kenapa tidak dapat pertimbang permintaan itu dan ini satu pendekatan sangat baik,” katanya.


Dalam isu air di Kedah misalnya, beliau berkata Kerajaan Pusat membuka ruang rundingan yang luas untuk bersama menyelesaikan masalah itu dan keputusan menukarkan hutang infrastruktur air kerajaan negeri kepada geran adalah satu inisiatif yang sangat baik.


“Ini adalah pendekatan baharu yang sangat ‘reflashing’, maksudnya ada serba kemungkinan dalam pentadbiran kerajaan PH,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai kononnya sokongan terhadap PH semakin merosot, Mukhriz berkata pihaknya mengambil iktibar daripada dakwaan-dakwaan seumpama itu dan menjadikannya sebagai pendorong untuk berusaha dengan lebih gigih.


Mengenai barisan exco kerajaan negeri, beliau berkata walaupun corak pemikiran mereka sedikit berbeza dengan pihak kerajaan, kerana sebelum ini menjadi pembangkang untuk tempoh yang lama, ia bukanlah satu kelemahan, sebaliknya ia dianggap sebagai kebaikan.


“Ketika menjadi pembangkang, mereka sering melihat dari sudut kepentingan rakyat, jadi bila sudah jadi exco kerajaan negeri, mereka ada empati dan memahami isi hati rakyat,” katanya. – Bernama


The post Kerajaan tak pernah berhenti tunai semua janji: MB Kedah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop