Expired : 18.06.18

Kerajaan usah tunduk desakan India ekstradisi Zakir Naik


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin


BANGI, 8 Syawal 1440H, Rabu – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia tidak tunduk kepada tekanan India termasuk membenarkan pakar perbandingan agama, Dr Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang Malaysia.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, Dr Zakir adalah seorang intelektual Islam yang diktiraf di seluruh dunia. 


Beliau diperakui oleh negara-negara Islam, malah hujah dan syarahannya tidak mempunyai unsur menghasut atau menghina agama lain seperti yang didakwa, kata Mohd Azmi.


Justeru, Mapim menyokong penuh pendirian kerajaan yang diumum oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik seperti yang cuba diusahakan oleh kerajaan India melalui mahkamah.


Terdahulu, India meminta pemerintah Malaysia untuk mengekstradisi Dr Zakir atas dakwaan pendakwah itu terbabit kegiatan pemindahan wang haram.


Malah, India juga meminta kerjasama Interpol untuk menahan pendakwah itu.


“Kami berpandangan bahawa Dr Zakir bukan lagi mahu diadili di mahkamah India akan tetapi lebih untuk menahan beliau dan tidak membenarkan beliau menyampaikan dakwahnya di negara itu.


“Beliau tidak menghadapi masalah sebelum kerajaan BJP memerintah. Tuduhan beliau menghasut ke arah tindakan ganas sudah pun gagal dibuktikan,” kata Mohd Azmi dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, beliau berkata, dek kerana kelompok ekstremis agama di bawah pengaruh puak RSS – pertubuhan berfahaman nasionalis dan ekstremis Hindu – terus memberi tekanan supaya tindakan ke atas Dr Zakir diambil, kini dakwaan pemindahan wang haram oleh Dr Zakir dijadikan tuduhan pilihan.


“Inilah sebab Tun Dr Mahathir berpendirian Dr Zakir tidak akan mendapat pembicaraan yang adil di mahkamah India. Dr Zakir telah berkali-kali menjelaskan semua prosedur kewangan beliau sangat telus. 


“Tidak ada yang mahu diselindungi. Semua dokumen aliran kewangan dan tanggungjawab membayar cukai telah diserah kepada pihak berwajib India,” katanya.


Sehingga kini, India masih gagal meminta Interpol meletakkan Dr Zakir dalam senarai merah kerana jelas India tidak punya bukti yang kukuh.


“Apa yang kami tidak dapat terima ialah kenapa India bersungguh benar untuk menahan Dr Zakir sedang beliau tidak melakukan sebarang jenayah. 


“Apa keuntungan India untuk menyekat pemikiran beliau yang diterima dan dihormati oleh umat Islam? Bagaimanakah yang dikatakan Dr Zakir mengancam keselamatan India sedangkan keganasan yang tercetus di India seperti serangan di Mumbai 1993 tidak dapat dibukti berkait dengan pengaruh Dr Zakir.


“Malah, siri serangan dan sasaran ke atas kaum muslimin di seluruh India akibat kempen membenci Islam dan Muslim sangat berleluasa di India,” katanya.


Beliau berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan BJP terang-terangan menyatakan kebencian kepada minoriti muslim di India, hatta dalam Pilihan Raya 2019 yang terbaru. 


“Kami melihat pandangan fanatik nasionalis Hindu yang mempengaruhi kerajaan India itulah yang kini mendorong mereka memburu beliau.


“Kami menggesa seluruh umat Islam bersatu mempertahankan hak kerajaan Malaysia tidak mengekstradisi Dr Zakir walaupun kerajaan India sedang mengguna saluran Interpol,” katanya.


The post Kerajaan usah tunduk desakan India ekstradisi Zakir Naik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop