Expired : 18.06.18

Kerajaan usaha perluas akses rawatan subfertiliti: TPM


KUALA LUMPUR, 7 Muharram 1441H, Sabtu – Majikan, syarikat insurans dan institusi berkepentingan perlu berkolaborasi dalam usaha membantu masyarakat mendapatkan rawatan subfertiliti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Dalam usaha itu, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan supaya subfertiliti disenaraikan sebagai penyakit yang dilindungi insurans.


“Pada masa ini, kadar kos yang tinggi menyebabkan masih ramai pasangan tidak mempunyai ruang untuk mendapatkan rawatan subfertiliti. Kos rawatan subfertiliti dianggarkan antara RM1,000 dan RM12,000.


“Mungkin sebagai permulaan prosedur Permanian Dalam Rahim (IUI) boleh ditanggung dari skim perlindungan kesihatan terutama bagi warga kerja sektor swasta,” katanya ketika merasmikan program Jalinan Kasih 2019 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.


Dr Wan Azizah menjelaskan bahawa penjawat awam boleh mendapatkan rawatan subfertiliti di klinik LPPKN dan boleh menuntut bayaran daripada kerajaan.


Dr Wan Azizah seterusnya berkata, pihak majikan sektor swasta boleh menimbang memberi insentif atau pembiayaan khas kepada pekerja yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan subfertiliti, terutama mereka yang belum menimang cahaya mata.


“Contohnya, kos pembiayaan rawatan subfertiliti ini (dimasukkan) ke dalam senarai jenis rawatan yang ditanggung oleh panel kesihatan majikan.


“Pihak majikan juga boleh menzahirkan sokongan moral dengan memberikan ruang atau meluluskan cuti khas kepada mereka yang ingin mendapatkan rawatan subfertiliti,” katanya.


Dalam soal tahap kesuburan populasi di Malaysia, beliau berkata, Total Fertility Rate (TFR) iaitu purata bilangan kelahiran bagi setiap wanita dalam lingkungan usia reproduktif menurun daripada 6.7 pada 1957 kepada 1.9 pada 2019.


Senario penurunan TFR itu antara faktor utama yang bakal menjadikan Malaysia pada masa hadapan mempunyai lebih ramai warga tua dengan negara diunjurkan menjadi negara tua menjelang 2030, apabila lebih 15 peratus daripada populasi rakyat mencapai umur lebih 60 tahun.


Berdasarkan kajian, beliau berkata, jika penurunan TFR tidak ditangani, negara akan seterusnya mencapai 20 peratus warga tua menjelang 2040.


“Ini akan memberi cabaran kepada negara untuk mengurus peningkatan perbelanjaan kesihatan sekiranya masyarakat dan negara belum bersedia mempunyai tabungan ekonomi untuk menuju negara tua,” katanya. -Bernama


The post Kerajaan usaha perluas akses rawatan subfertiliti: TPM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop