Expired : 18.06.18

Kerja Rumah Bukan Tugas Isteri Saja, Lelaki Ini Tunjuk Cara Dia Latih & Fahamkan Anak-anak Untuk Bereskan Kerja Rumah

Zaman sekarang isteri atau kaum ibu pun kebanyakannya bekerja dan dah tentu tak sempat untuk membuat semua kerja rumah.


Sebab itu ramai suami sekarang yang tak berkira membantu isteri di rumah. Selalu saja tengok kaum bapa menyidai pakaian waktu hujung minggu atau memasak di dapur kan.


Tapi sebenarnya tugas ini bukan tugas suami isteri saja, anak-anak jua harus dilatih melakukan kerja rumah. Bukan saja untuk meringankan kerja ibu bapa tapi supaya sikap yang sama dibawa bila anak sudah berumah tangga kelak. Supaya ‘mind set’ kerja rumah kerja orang perempuan itu dah tiada lagi.


Kalau nak mengajar anak sebenarnya biarlah dari kecil dan kena ada cara. Kaedah diguna pakai Ahmad Affzan Abdullah juga menarik untuk ibu bapa lain praktik kan.


Katanya sebelum minta anak buat, fahamkan kenapa mereka perlu buat kerja rumah itu. Selebihnya jom baca perkongsiannya.


Fahamkan Anak Kenapa Perlu Tolong Buat Kerja Rumah


Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.


“Baca ni,” katanya.


Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “Artikel apa tu?”


Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam bahasa inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.


Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,


“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”


Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.


Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama.


Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?


Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu.


Betul, biasanya kita ini ambil mudah.


Kerja rumah kait dengan orang perempuan


Bila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita. Kenapa mentaliti kita begitu?


Pinggan, ramai yang lepas makan hanya letak saja dalam sink. Yang lebih teruk, tinggal saja atas meja makan. Maka ibu atau isterilah yang mengutip sampah sarap ini tadi dan membawanya ke dapur


Tandas, semua guna untuk buang segala kotoran dalam badan. Bila mangkuk tandas dan lantai sudah berdaki, semuanya buat tak tahu. Masing-masing beranggapan nanti ibu atau isteri yang akan sental.


Kipas dan aircond, semua nak guna waktu kepanasan. Namun bila berhabuk, masing-masing lebih rela bersin dan terbatuk berbanding ambil inisiatif untuk buang habuk yang terkumpul. Semuanya tunggu ibu atau isteri yang buat.


Beginikah cara kita hidup bersama di dalam rumah? Di bawah satu bumbung?


Kami buat duty roster


Maka kami pun buat jadual. Duty roster. Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan.


Untuk apa? Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.


Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja. Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas.


Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.


Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos. Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego. Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami.


Kita nampak ruang tamu kemas, kita tersenyum dan kata pada diri, itu kita yang kemas sama-sama.


Kita nampak tandas bersih, kita juga rasa puas hati kerana kita pun terlibat dalam memastikan tandas itu harum dan tidak jijik.


Baru kita tahu apa yang ibu, isteri kita rasa


Kita akan geram bila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.


Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini.


Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?


Semoga Allah sentiasa menaungi keluarga kita dengan rahmah dan maghfirah-Nya, dan rumah yang kita diami itu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan.


The post Kerja Rumah Bukan Tugas Isteri Saja, Lelaki Ini Tunjuk Cara Dia Latih & Fahamkan Anak-anak Untuk Bereskan Kerja Rumah appeared first on Padu Seyh.


Norlida Ishak Shop