Expired : 18.06.18

Kerjasama Umno-PAS takutkan bukan Islam

Kerjasama PAS dan Umno memberi gambaran suasana menyatupadukan Melayu dan Islam bagi menghadapi orang bukan Islam, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.


Beliau berkata, beberapa ungkapan yang dikeluarkan pemimpin kedua-dua parti terbabit mencetuskan rasa terancam dalam kalangan orang bukan Islam dalam negara.


“Itu pandangan masing-masing kerana ianya merupakan satu suasana yang telah mereka sendiri hasilkan.


“Mereka menggunakan ungkapan negara bahaya, terancam oleh orang bukan Islam maka seruan mereka adalah seruan menyatukan Melayu dan Islam untuk menghadapi ancaman bukan Islam.


“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian rupa maka tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia merupakan satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.


Katanya, tidak salah jika terdapat anggota masyarakat bukan Islam yang merasa terancam disebabkan kempen perkauman yang digerakkan Pas-Umno.


“Tidak salah jika bukan Islam terasa terancam kerana kempennya selalu kempen kebencian dan ketakutan,” ujarnya.


Mengulas isu sama, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen pula menyifatkan penyatuan PAS dan Umno bukan saja mewujudkan ancaman kepada Pakatan Harapan malah kepada negara.


“Penyatuan Pas Umno bukan saja ancaman pada HARAPAN tetapi juga pada negara secara keseluruhannya. Kalau kita lihat pada propaganda yang dibawa mereka dalam dua siri PRK sebelum ini, mereka membawa isu perkauman dan keagamaan.


“Yang mana saya setuju dengan kenyataan (Pengerusi DAP Perak) Nga Kor Ming bahawa terdapat kemungkinan negara menghala ke arah negara Taliban sekiranya PAS-Umno bekerjasama dan menang pilihan raya akan datang,” katanya.


Norlida Ishak Shop